
PUTRAJAYA, 10 Februari 2026 – Seramai 162 mangsa pelaburan forex dan mata wang kripto tampil merayu agar Jabatan Peguam Negara (AGC) memberikan perhatian serta pertimbangan sewajarnya terhadap kes yang didakwa melibatkan unsur penipuan dan pengumpulan dana pelaburan secara tidak sah, dengan jumlah kerugian mencecah RM63,074,091.00.
Rayuan itu disuarakan melalui Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) yang hadir bersama mangsa-mangsa di perkarangan Jabatan Peguam Negara bagi membawa keluhan serta harapan ratusan individu yang mengesyaki diri mereka telah diperdaya oleh dua buah syarikat pelaburan membabitkan skim forex dan kripto yang disyaki tidak wujud.
Setiausaha Agung MHO, Dato’ Hishamuddin bin Hashim berkata, kebanyakan mangsa merupakan individu yang terpedaya dengan janji pulangan lumayan sebelum diminta menyertai program pelaburan yang kononnya sah dan aktif di pasaran antarabangsa.
Menurut beliau, mangsa-mangsa memaklumkan bahawa program pelaburan tersebut disyaki diwujudkan semata-mata untuk mengutip modal, tanpa sebarang proses sebenar perdagangan forex atau mata wang kripto seperti yang dijanjikan kepada para pelabur.
“Mangsa merasakan diri mereka telah ditipu, dikhianati dan dizalimi. Justeru, mereka memohon agar Jabatan Peguam Negara menjalankan satu penelitian yang serius, menyeluruh dan telus terhadap keseluruhan fakta serta aduan yang telah dikemukakan,” katanya.
MHO turut menggesa agar AGC menilai sama ada wujud elemen kesalahan jenayah, khususnya berkaitan penipuan, pecah amanah dan pengumpulan dana pelaburan secara tidak sah, demi memastikan kepentingan awam, prinsip keadilan serta kedaulatan undang-undang terus terpelihara.
Tambah beliau, kehadiran MHO dan mangsa-mangsa bukan bertujuan mencetuskan polemik atau membuat prejudis terhadap mana-mana pihak, sebaliknya untuk memastikan suara mangsa didengari dan tidak dipinggirkan.
“Kami berdiri sebagai suara kepada mangsa. MHO percaya bahawa keadilan bukan sahaja perlu ditegakkan, malah perlu dilihat sedang ditegakkan agar keyakinan rakyat terhadap sistem perundangan negara dapat dipulihkan,” tegasnya.
MHO berharap agar tindakan berkesan dapat diambil oleh pihak berkuasa demi memastikan tiada pihak yang kebal daripada undang-undang, sekali gus memberi pembelaan sewajarnya kepada ratusan mangsa yang terkesan.
#AACNews #MHO #MangsaPelaburan #ForexScam #KriptoScam #TuntutKeadilan #PenipuanPelaburan #JabatanPeguamNegara #SuaraMangsa #TiadaSiapaKebal