Empat Kali Operate, Laporan Lengkap, Tapi KWSP Tolak Permohonan HILANG UPAYA
KUALA LUMPUR, 11 FEBRUARI 2026 – Seorang pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mendakwa terus teraniaya apabila permohonan pengeluaran KWSP atas alasan hilang upaya masih gagal diluluskan, walaupun mempunyai laporan perubatan sah dan keadaan kesihatan yang kritikal.
Aktivis sosial, Dato’ Dr Kalaivanar, mendedahkan perkara itu ketika menyuarakan pembelaan terhadap Puan Mutamal a/p Vadiapen, 51, seorang bekas pekerja Econsave yang kini tidak mampu berjalan dan mengalami pelbagai penyakit kronik.
Menurut beliau, Puan Mutamal telah mengalami empat kali kemalangan serius sejak tahun 2016 hingga 2025, termasuk kecederaan tulang belakang (L4 dan L5) yang memerlukan pembedahan berulang.
Keadaan kesihatannya kini merangkumi masalah spinal cord, asma, diabetes, penyakit jantung, jangkitan paru-paru, pneumonia, dan disahkan hilang upaya.
“Ini bukan soal sedekah. Ini hak beliau sebagai pencarum KWSP. Wang itu adalah titik peluh beliau sendiri,” tegas Dato’ Dr Kalaivanar.
Tambah beliau, Puan Mutamal telah bersara dan tidak lagi bekerja, malah semua dokumen sokongan termasuk laporan perubatan dan surat persaraan telah diserahkan kepada pihak KWSP sejak Januari 2026. Namun sehingga kini, permohonan pengeluaran hilang upaya masih ditolak tanpa penjelasan munasabah.
Lebih membimbangkan, beliau turut mendakwa bahawa permohonan bantuan PERKESO (SOCSO) juga masih belum mendapat sebarang keputusan walaupun keadaan kesihatan mangsa semakin merosot.
“Dia perlu bayar ansuran rumah, kos rawatan, dan tanggungan keluarga. Dalam keadaan tak boleh berjalan, mana dia nak kerja?” soal beliau.
Dato’ Dr Kalaivanar menyifatkan situasi ini sebagai satu bentuk penganiayaan terhadap pencarum, dan mempersoalkan peranan KWSP yang dilihat gagal bertindak secara prihatin dan berperikemanusiaan terhadap kes melibatkan hilang upaya yang jelas.
Beliau menegaskan bahawa pihaknya akan menyerahkan semula dokumen rasmi dan hadir ke Ibu Pejabat KWSP bagi menuntut penjelasan serta mendesak agar wang caruman dipulangkan segera, selewat-lewatnya dalam tempoh 10 hari.
“KWSP tak pernah minta izin pencarum bila melabur sana sini. Tapi bila pencarum sakit dan perlukan duit sendiri, kenapa dipersulitkan?” katanya lagi.
Beliau turut menggesa Menteri Kewangan, KWSP dan PERKESO agar tampil memberi penjelasan terbuka serta memastikan keadilan ditegakkan demi kebajikan pencarum yang terjejas.
Kes ini, menurutnya, bukan kes terpencil, malah dipercayai melibatkan ramai rakyat marhaen yang senasib namun tidak bersuara.
#AACMedia #KWSP #HakPencarum #KeadilanUntukMarhaen #HilangUpaya #SuaraRakyat #AktivisBersuara #JanganAniayaPencarum #KWSPPrihatin #ViralkanKebenaran