Oplus_16908288
KUALA LUMPUR, 11 Februari 2026 – Isu penguasaan premis perniagaan oleh warga asing di sekitar Bukit Bintang kembali menjadi perhatian apabila aktivis sosial, Dato’ Dr. Kalaivanar, tampil menggesa tindakan segera pihak berkuasa dalam satu sidang media di Brickfields, petang tadi.
Beliau hadir bersama seorang warga tempatan, Saiful Azwira Abdul Jabbar, yang mendakwa telah berulang kali membuat aduan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berhubung operasi beberapa premis di Jalan Padang Walter yang dipercayai disewakan kepada warga asing melalui modus operandi ‘Ali Baba’.
Menurut Dato’ Dr. Kalaivanar, perkara ini bukan lagi isu kecil, sebaliknya sudah menjadi “barah besar” yang semakin membarah di ibu negara.
“Kalau PBT dan Immigration tidak jalankan tugas, kita nak salahkan siapa? Rakyat nampak depan mata – kedai beroperasi, tapi tiada tindakan tegas,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan mengapa laporan yang dibuat tidak membuahkan hasil, malah mendakwa wujud unsur penguatkuasaan yang lemah sehingga membolehkan premis terbabit terus beroperasi seperti biasa.
Saiful Azwira pula berkata beliau telah dua kali membuat aduan rasmi melalui saluran DBKL, namun sehingga kini tiada maklum balas konkrit diterima.
“Kesalahan sudah dilaporkan, malah pernah masuk surat khabar. Tapi peliknya tiada tindakan. Saya dah tak tahu nak pergi mana,” katanya.
Dalam kenyataan sama, Dato’ Dr. Kalaivanar menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Imigresen, DBKL, Polis Diraja Malaysia serta Kementerian Wilayah Persekutuan mengambil tindakan segera dan menyeluruh.
Beliau turut mencadangkan agar tenaga pesara pasukan keselamatan dan anggota RELA digerakkan secara lebih agresif bagi membantu operasi membanteras pendatang tanpa izin serta aktiviti perniagaan yang melanggar undang-undang.
Menurutnya lagi, isu lambakan warga asing bukan sahaja di Bukit Bintang, malah turut dikesan di beberapa lokasi lain termasuk Jalan Ipoh, Sentul dan Brickfields.
Beliau memberi amaran bahawa sekiranya tiada tindakan diambil dalam masa terdekat, pihak Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara akan turun padang bersama pasukan mereka bagi memantau dan mendedahkan perkara tersebut kepada umum.
“Kita bukan lawan kerajaan. Kita bantu kerajaan dengan beri maklumat. Tapi bila maklumat diberi, tindakan mesti ada,” tegasnya.
Isu ini dijangka terus menjadi perhatian warga kota yang mendakwa peluang perniagaan semakin sempit, manakala penguatkuasaan dilihat tidak seimbang.
AAC akan terus mengikuti perkembangan kes ini.
#IsuWargaAsing #BukitBintang #Penguatkuasaan #DBKL #Imigresen #KDN #SuaraRakyat #AACNews #MalaysiaPrihatin #SolidaritiNegara