KUALA LUMPUR, 9 Februari 2026 — Aktivis masyarakat, Rahimuddin Mat Harun, meluahkan rasa terkejut dan kecewa terhadap kenyataan yang didakwa dikeluarkan oleh Menteri Besar Selangor berhubung isu ladang babi di negeri itu, yang menurutnya bersifat tidak wajar serta mengundang pelbagai tafsiran.
Menurut Rahimuddin, isu ladang babi tersebut bukanlah isu yang dibangkitkan oleh pihak pembangkang, sebaliknya berpunca daripada titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor yang sebelum ini menyentuh soal ketidakselesaan penduduk akibat kewujudan ladang berkenaan.
“Titah Tuanku jelas menyebut bahawa sekiranya ladang babi ini mahu diteruskan, maka ia wajar dibina berhampiran kediaman wakil-wakil rakyat sendiri, sebagai satu isyarat keadilan dan kebertanggungjawaban,” katanya.
Beliau mempersoalkan sama ada kenyataan kontroversi yang dikaitkan dengan Menteri Besar itu ditujukan kepada pihak pembangkang atau secara tidak langsung boleh ditafsirkan sebagai satu bentuk penghinaan terhadap institusi diraja.
Isu tersebut, katanya, telah mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menyokong titah Sultan Selangor, sehingga mendorong penganjuran satu sidang meja bulat bagi membincangkan langkah-langkah susulan.
Dalam masa yang sama, Rahimuddin turut mengkritik prestasi pentadbiran kerajaan negeri Selangor yang didakwanya gagal menangani pelbagai masalah asas rakyat, termasuk isu banjir, penyelenggaraan lampu jalan, landskap persekitaran dan tahap pengurusan pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Lampu jalan tidak berfungsi pada waktu malam, terpadam pula ketika anak-anak ke sekolah. Rumput dan lalang tidak terurus. Keadaan ini amat memalukan, apatah lagi apabila kerajaan negeri sering membanggakan rizab kewangan yang mencecah berbilion ringgit,” ujarnya.
Beliau turut mengaitkan teguran oleh Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong terhadap Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sebagai satu isyarat jelas supaya kepentingan dan kesejahteraan rakyat diberi keutamaan.
Rahimuddin berharap agar semua pemimpin, khususnya di peringkat negeri, lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan awam kerana ia boleh menjadi contoh negatif kepada masyarakat, terutama golongan kanak-kanak.
#BeritaAAC #Selangor #IsuLadangBabi #TitahTuanku #DaulatTuanku #SuaraRakyat #TanggungjawabPemimpin #IsuSemasa #PolitikNegeri #NGOBersuara