default
KUALA LUMPUR – Presiden PERKASA, Syed Hassan Ali hari ini mengesahkan bahawa pihaknya bersama Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan NGO PANJI telah membuat satu laporan rasmi berhubung satu perjanjian melibatkan kerajaan Malaysia dengan sebuah syarikat luar negara bernilai hampir RM1.1 bilion.
Bagaimanapun, beliau berkata butiran terperinci laporan tersebut tidak dapat didedahkan kerana telah menandatangani akuan janji kerahsiaan.
Menurutnya, laporan itu dibuat susulan pelbagai aduan dan persoalan yang diterima daripada masyarakat berhubung satu perjanjian yang dimeterai pada awal tahun lalu, sekitar Mac, yang kini menimbulkan tanda tanya mengenai hala tuju serta pelaksanaannya.
“Kami menerima banyak aduan dan pertanyaan tentang satu perjanjian kerajaan Malaysia dengan syarikat luar, melibatkan hampir RM1.1 bilion. Sekarang ini orang nak tahu, ke mana perginya projek itu,” katanya kepada media.
Beliau memaklumkan bahawa perjanjian tersebut membabitkan perkhidmatan serta perolehan aset dan melibatkan sebuah kementerian besar yang penting kepada ekonomi negara.
Lebih mengejutkan, dakwanya, isu itu turut dikaitkan dengan seorang bekas menteri serta seorang bekas pegawai yang pernah berkhidmat dengan syarikat terlibat.
Sehubungan itu, Syed Hassan berharap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dapat menjalankan siasatan menyeluruh bagi memastikan tiada unsur salah guna kuasa, ketirisan atau penyelewengan dana awam.
“Kita nak tahu sama ada bayaran sudah dibuat sepenuhnya atau sebahagian, dan apakah tujuan sebenar bayaran tersebut. Duit kerajaan itu telah disalurkan ke mana? Perlu ada ketelusan,” tegasnya.
Beliau menyifatkan perkara itu sebagai serius dan tidak boleh dipandang ringan, memandangkan ia melibatkan jumlah besar wang rakyat.
Syed Hassan turut menyatakan bahawa laporan tersebut merupakan yang pertama dibuat secara rasmi dan tidak menolak kemungkinan pendedahan lanjut akan dibuat pada masa akan datang, tertakluk kepada proses siasatan.
Katanya lagi, NGO seperti PERKASA dan PANJI sering menjadi tempat masyarakat menyalurkan aduan, khususnya dalam isu melibatkan kepentingan pengguna dan dana awam.
“Kita nak lihat sejauh mana kesungguhan kerajaan dalam menangani isu sebegini. Rakyat mahu ketelusan dan tindakan tegas jika benar wujud salah laku,” ujarnya.
#BeritaAAC #IsuRM11Bilion #KetelusanKerajaan #SiasatSampaiHabis #SPRM