KUALA LUMPUR, 13 Februari 2026 – Kes melibatkan seorang rakyat Malaysia, Adik Faiq yang kini ditahan di Jepun atas dakwaan penipuan dalam talian terus menimbulkan tanda tanya apabila beliau didakwa telah mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan tanpa penghakiman mahkamah setakat ini.
Menurut Setiausaha Agung Malaysian Humanitarian Organization (MHO), Dato’ Hishamudin Hashim, pihaknya bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manir, Helmi Harun telah berlepas ke Tokyo sebelum menuju ke Toyama bagi bertemu dengan Adik Faiq yang ditahan oleh pihak polis Jepun.
Bagaimanapun, dua sesi pertemuan bersama tahanan tersebut tidak membenarkan sebarang perbincangan mengenai fakta kes mengikut prosedur undang-undang Jepun.
Dalam pertemuan bersama peguam bantuan guaman (legal aid) yang mewakili Adik Faiq, pihak MHO dimaklumkan bahawa beliau telah didakwa atas dua pertuduhan dan pengakuan bersalah telah direkodkan bagi kedua-dua pertuduhan tersebut. Satu lagi pertuduhan tambahan dijangka akan dikemukakan pada Mac ini, dengan tarikh penting ditetapkan sekitar 13 Mac.
Namun begitu, sehingga kini tiada sebarang keputusan mahkamah atau hukuman dijatuhkan.
Pihak MHO turut melahirkan rasa terkilan apabila Kedutaan Malaysia di Tokyo didakwa tidak dimaklumkan mengenai tangkapan tersebut pada peringkat awal, sekali gus menyebabkan keluarga tidak berpeluang melantik peguam swasta bagi membela Adik Faiq sebelum pengakuan bersalah dibuat.
Menurut Dato’ Hishamudin, terdapat kebimbangan bahawa pengakuan bersalah yang direkodkan mungkin dibuat tanpa nasihat undang-undang yang mencukupi, terutama dalam situasi di mana tahanan tidak mempunyai akses komunikasi yang mudah dengan keluarga.
Beliau tidak menolak kemungkinan wujud elemen eksploitasi memandangkan Adik Faiq merupakan graduan politeknik yang baru menamatkan pengajian kira-kira dua bulan sebelum berlepas ke Jepun bagi tujuan pekerjaan.
Sementara itu, ibu mangsa, Noor Zuhaini Binti Ismail, 47, meluahkan rasa kecewa apabila hanya dimaklumkan mengenai pertuduhan terhadap anaknya selepas wakil MHO pulang dari Jepun, sedangkan sebelum ini beliau difahamkan bahawa anaknya hanya direman selama 120 hari.
Malah, bapa mangsa, Muhd Jailani Bin Ambak, 52, turut mempersoalkan bagaimana prosiding mahkamah boleh berlangsung tanpa pengetahuan atau peluang pembelaan daripada pihak keluarga.
Difahamkan, keluarga kini sedang meneliti kemungkinan untuk memfailkan rayuan bagi mengenepikan pengakuan bersalah tersebut sebelum tarikh prosiding seterusnya pada 13 Mac.
#BeritaAAC #AdikFaiq #RakyatMalaysia #KesJepun #KeadilanUntukFaiq #MHO #WismaPutra #UndangUndang #IsuSemasa #MalaysiaPrihatin