AMPANG, 12 Februari 2026 – Kenyataan kontroversi yang didakwa dikeluarkan oleh Menteri Besar Selangor baru-baru ini terus mengundang reaksi pelbagai pihak apabila seorang aktivis tampil mendesak permohonan maaf terbuka serta peletakan jawatan.
Aktivis, Rahimuddin Mat Harun, berkata video ucapan Menteri Besar yang tular itu menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan rakyat, khususnya di kawasan Bukit Tagar.
Menurut beliau, penggunaan perkataan yang dianggap kasar dan tidak wajar dalam satu konvensyen parti politik telah mengundang pelbagai tafsiran serta kemarahan rakyat.
“Sepatutnya Menteri Besar sudah mengeluarkan kenyataan memohon maaf kepada seluruh penduduk Bukit Tagar, kepada pimpinan PAS Selangor dan juga kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Selangor,” katanya.
Beliau turut menyifatkan isu tersebut sebagai sesuatu yang serius kerana melibatkan sensitiviti rakyat serta institusi diraja negeri.
Dalam masa sama, Rahimuddin mempersoalkan keutamaan pentadbiran kerajaan negeri yang menurutnya lebih tertumpu kepada cadangan pembangunan ladang ternakan babi di Bukit Tagar berbanding isu kebajikan rakyat.
Katanya, rakyat Selangor ketika ini berdepan tekanan kos sara hidup serta pelbagai masalah asas termasuk isu bekalan utiliti dan perumahan, yang sepatutnya diberi perhatian segera.
Beliau juga mempersoalkan perkembangan projek pembangunan semula Stadium Shah Alam yang masih belum menunjukkan kemajuan ketara selepas perobohan dilakukan sebelum ini.
“Banyak lagi perkara yang perlu diurus dengan lebih baik. Jika tidak mampu memohon maaf dan memperbetulkan keadaan, maka lebih baik beri laluan kepada kepimpinan baharu,” tegasnya.
Isu ini terus hangat diperkatakan di media sosial dengan rata-rata netizen menuntut penjelasan lanjut daripada pihak Menteri Besar berhubung kenyataan tersebut serta hala tuju sebenar pentadbiran negeri.
#BeritaAAC #IsuSelangor #MBKontroversi #BukitTagar #StadiumShahAlam #PolitikNegeri #RakyatBersuara #SelangorTerkini #IsuSemasa #MalaysiaNews