BALAKONG, 16 Februari 2026 – Aktivis sosial, Dr Kalaivanar mendakwa wujud aktiviti pengoperasian lori oleh warga asing secara tidak sah di sebuah premis pengedaran air mineral di kawasan perindustrian Belakong, pagi tadi.
Beliau yang hadir bersama wakil Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara dan Nambikkai Malaysia berkata, tinjauan yang dilakukan sekitar jam 8 pagi di hadapan Kilang Air Mineral RO mendapati puluhan lori dipercayai digunakan bagi tujuan pengangkutan air mineral dikendalikan oleh individu bukan warganegara.
Menurutnya, situasi tersebut menimbulkan persoalan berhubung tahap penguatkuasaan oleh agensi berkaitan termasuk Jabatan Imigresen Malaysia dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), memandangkan terdapat peruntukan undang-undang di bawah Seksyen 26(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membolehkan tindakan sitaan diambil terhadap pemilik kenderaan yang melanggar peraturan.
Dalam masa sama, beliau turut menggesa Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail serta Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook untuk mengambil tindakan segera terhadap dakwaan penyalahgunaan pas kerja serta ketiadaan lesen memandu kenderaan barangan (GDL) dalam kalangan pemandu terbabit.
Tambah beliau, kehadiran tenaga kerja asing yang didakwa menguasai sebahagian rantaian pengedaran logistik tempatan boleh mewujudkan persaingan tidak seimbang kepada pengusaha tempatan sekiranya tiada pemantauan berterusan oleh pihak berkuasa.
Sehubungan itu, pihaknya menyeru agar siasatan menyeluruh dijalankan oleh agensi penguatkuasaan termasuk di kawasan tumpuan lain seperti Bukit Bintang bagi memastikan aktiviti ekonomi tempatan dikendalikan mengikut peruntukan undang-undang yang ditetapkan.
#BeritaAAC #IsuSemasa #Balakong #Penguatkuasaan #ImigresenMalaysia #JPJ #EkonomiTempatan #PekerjaAsing #MalaysiaPrihatin #LogistikMalaysia