KUALA LUMPUR, 17 Februari 2026 – Isu perobohan kuil yang kembali menjadi perhatian awam ketika ini berpotensi mencetuskan ketegangan antara kaum sekiranya tidak ditangani secara berhemah, kata aktivis sosial, Datuk Dr Kalaivanar.
Beliau yang mewakili Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara & Nambikkai Malaysia menyuarakan kebimbangan bahawa polemik melibatkan rumah ibadat tidak seharusnya dijadikan bahan politik sehingga menjejaskan keharmonian masyarakat majmuk di negara ini.
Menurut beliau, perpaduan rakyat Malaysia telah dibina sejak era kemerdekaan hasil pengorbanan tokoh-tokoh terdahulu termasuk Bapa Kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman, dan tidak wajar digugat oleh sentimen perkauman yang sempit.
Tambahnya lagi, masyarakat India sendiri tidak menyokong pembinaan kuil secara pencerobohan di atas tanah yang tidak sah, namun sebarang tindakan melibatkan rumah ibadat perlu diselesaikan melalui saluran undang-undang serta penguatkuasaan yang tersusun dan telus.
“Isu sensitif berkaitan agama tidak harus dipolitikkan kerana ia berpotensi mengundang ketegangan antara kaum serta menjejaskan kestabilan negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak agar mengekalkan semangat saling hormat-menghormati serta memperkukuh silaturahim antara masyarakat berbilang kaum demi memastikan keharmonian negara terus terpelihara.
#PerpaduanMalaysia #IsuKuil #HarmoniNegara #SentimenPerkauman #MalaysiaMadani