KUALA LUMPUR, 9 Februari 2026 – Isu penggunaan laluan komuniti oleh pihak kuil di Taman Koperasi Cuepacs kini memasuki fasa baharu apabila Persatuan Penduduk Pembangunan Masyarakat (PPPM) memberi tempoh dua minggu kepada pihak terlibat untuk melaksanakan kerja-kerja pembersihan serta pengalihan pagar kawasan kuil tersebut.
Pengerusi PPPM, Syapawi berkata, keputusan tersebut dibuat susulan kenyataan pihak Exco serta wakil berkaitan yang memaklumkan bahawa laluan komuniti di kawasan taman berkenaan tidak lagi boleh digunakan oleh pihak kuil.
Menurut beliau, semua jalan di dalam taman merupakan laluan komuniti milik penduduk dan sebarang penggunaan oleh pihak luar tanpa persetujuan adalah tidak wajar serta berpotensi mencetuskan ketegangan.
“Pihak kuil diminta menggunakan laluan alternatif melalui Jalan Sungai Long sekiranya ingin meneruskan aktiviti mereka. Kita telah beri ruang untuk mereka menjalankan kerja pembersihan serta mengalihkan pagar mengikut keperluan adat mereka,” katanya.
Tambah beliau, sekiranya tiada sebarang tindakan diambil selepas tempoh dua minggu diberikan, PPPM akan mengambil langkah menutup laluan tersebut dengan pembinaan pagar bagi menghalang akses ke kawasan perumahan oleh pihak luar.
Syapawi turut mempersoalkan kelulusan pembinaan kuil berkenaan memandangkan terdapat sebuah lagi kuil berhampiran dalam jarak kurang daripada satu kilometer dari lokasi tersebut.
“Penduduk bukan berniat untuk mencetuskan konflik, namun kami mahu memastikan keselamatan serta hak komuniti setempat terus terpelihara daripada gangguan pihak luar,” jelas beliau.
Difahamkan, Setiausaha PPPM juga telah mengadakan pertemuan dengan pihak Pejabat Tanah bagi mendapatkan maklum balas lanjut berhubung isu berkenaan, sementara penduduk akur bahawa struktur tersebut mempunyai kelulusan serta geran sah.
Bagaimanapun, penduduk melihat keputusan melarang penggunaan laluan komuniti oleh pihak kuil sebagai satu kelegaan dalam usaha mengekalkan keharmonian di kawasan perumahan tersebut.
#BeritaAAC #IsuKomuniti #TamanCuepacs #LaluanPenduduk #IsuTempatan #HakPenduduk #PembangunanBandar #KomunitiSetempat #MalaysiaTerkini #AACNews