KUALA LUMPUR, 16 Februari 2026 – Aktivis sosial daripada Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara dan Nambikkai Malaysia, Dato’ Dr Kalaivanar, berpandangan bahawa kelemahan representasi politik masyarakat India ketika ini menjadi antara faktor yang menyumbang kepada ketidakpuasan dalam kalangan komuniti tersebut terhadap saluran politik sedia ada.
Menurut beliau, suatu ketika dahulu parti Malaysian Indian Congress (MIC) dilihat sebagai wadah politik yang kuat dalam memperjuangkan hak masyarakat India, khususnya ketika era kepimpinan Tun V.T. Sambanthan yang banyak menyumbang sumber peribadi demi membangunkan asas kekuatan parti.
Namun katanya, perubahan landskap politik serta kepimpinan selepas itu menyebabkan sebahagian masyarakat India mula merasakan suara mereka tidak lagi dibela secara efektif, sekali gus menyaksikan MIC semakin diketepikan dalam arus politik semasa.
“Dalam masyarakat India hari ini terdapat lebih daripada 10 parti politik, tetapi kita masih gagal mencapai satu kesepakatan suara dalam menyampaikan aspirasi kepada kerajaan,” katanya ketika diminta mengulas berhubung isu semasa melibatkan sensitiviti keagamaan.
Beliau turut menegaskan bahawa pemimpin politik harus memainkan peranan sebagai jambatan kompromi antara kaum, dan bukan hanya menyampaikan mesej kepada komuniti masing-masing dalam bahasa yang tidak difahami oleh masyarakat lain.
“Tindakan menghasilkan kenyataan atau kandungan hanya dalam bahasa Tamil misalnya, mungkin mendapat sokongan dalam komuniti sendiri, tetapi gagal membina kefahaman antara kaum lain seperti Melayu dan Cina. Ini akhirnya mengasingkan kita,” jelas beliau.
Mengulas lanjut mengenai isu kuil di kawasan Masjid India, Dato’ Dr Kalaivanar menasihatkan semua pihak agar tidak bertindak di luar kerangka undang-undang serta menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan.
“Malaysia mempunyai undang-undang. Kita tidak boleh mengambil tindakan sendiri sehingga mencetuskan konflik antara kaum seperti insiden lampau di Kerling yang melibatkan rumah ibadat,” katanya.
Beliau turut menggesa pihak Majlis Keselamatan Negara agar memainkan peranan lebih proaktif dalam memastikan ketenteraman awam terus terpelihara, selain membuka ruang kepada aktivis masyarakat untuk menyumbang idea dalam menangani isu sensitif secara konstruktif.
Dato’ Dr Kalaivanar menegaskan bahawa perpaduan nasional harus diutamakan dan segala perbezaan politik tidak seharusnya menjadi alasan untuk bermusuhan sesama rakyat Malaysia.
#BeritaAAC #IsuKuil #MIC #PerpaduanNasional #PolitikMalaysia #MasyarakatIndia #SensitivitiAgama #MalaysiaMadani #SuaraRakyat #HarmoniKaum