KUALA LUMPUR, 17 Februari 2026 – Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia, Dominic Lau How Chai menzahirkan keyakinan bahawa kepimpinan tertinggi Perikatan Nasional mampu menyelesaikan segala cabaran dalaman gabungan itu secara berhemah dan mengikut saluran perlembagaan.
Beliau berkata, keempat-empat presiden parti komponen PN akan mengadakan pertemuan terlebih dahulu sebelum Mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 22 Februari ini bagi mencapai persefahaman bersama, sekali gus mencari penyelesaian terbaik demi kestabilan gabungan.
Menurutnya, GERAKAN menghormati sebarang keputusan yang dibuat oleh parti komponen lain termasuk BERSATU, PAS dan MIPP, selaras dengan prinsip tidak campur tangan dalam urusan dalaman parti masing-masing.
“Matlamat kita jelas – kita mahu menang dalam PRU ke-16. Berilah sedikit masa kepada kami, isu-isu ini akan diselesaikan secepat mungkin,” katanya kepada media sempena Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Parti GERAKAN.
Dalam perkembangan sama, beliau turut memaklumkan keadaan kesihatan Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin, yang kini sedang menerima rawatan di hospital susulan menjalani prosedur kecil. Tan Sri Muhyiddin turut menyampaikan permohonan maaf kerana tidak dapat hadir, selain mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina kepada semua rakan dalam PN serta masyarakat Cina.
Mengulas mengenai spekulasi calon Pengerusi PN, Dominic berkata perkara itu akan dibincangkan secara rasmi dalam mesyuarat nanti. Tegasnya, calon yang dipilih mestilah boleh diterima oleh keempat-empat parti komponen serta semua lapisan rakyat Malaysia, memandangkan jawatan itu berpotensi menjadi “poster boy” dan calon Perdana Menteri gabungan.
Sementara itu, beliau menegaskan pendirian GERAKAN yang kekal terbuka kepada mana-mana individu yang bersetuju dengan perjuangan dan ideologi parti, namun bukan menjadi dasar GERAKAN untuk mempelawa mana-mana pihak menyertai parti secara aktif.
#BeritaAAC #PerikatanNasional #GERAKAN #DominicLau #PolitikMalaysia #PRU16 #KrisisPolitik #TahunBaruCina #Semasa #SuaraRakyat