
KUALA LUMPUR, 21 Februari 2026 – Beberapa penerima Bantuan Hari Raya daripada Yayasan PEKEMA tampil berkongsi pandangan menyentuh soal penjagaan aurat dan maruah diri wanita, sambil menegaskan bahawa kecantikan tidak semestinya ditonjolkan secara berlebihan.
Menurut Kamilia, wanita masih boleh kelihatan cantik walaupun menutup aurat, asalkan penampilan itu dijaga mengikut syarak.
“Bukan pakai purdah tak boleh cantik-cantik. Kita boleh tutup aurat tapi tetap cantik. Yang penting, kita sendiri kena ingat dosa aurat itu dan jaga diri sebab kita ni berharga,” katanya.
Tambah beliau, ramai wanita berniqab dan bertudung yang kelihatan anggun tanpa perlu mendedahkan aurat, sekali gus membuktikan bahawa kecantikan sebenar datang bersama adab dan kesedaran diri.
Sementara itu, Anissa pula menekankan bahawa berhias seharusnya dilakukan untuk diri sendiri, bukan demi pandangan orang lain.
“Kita pakai lawa untuk diri kita, bukan untuk orang pandang. Kita jaga pandangan dan jaga diri sebab kita ni berharga sebagai seorang wanita,” ujarnya.
Pandangan sama turut dikongsi Anis yang mengingatkan wanita supaya sentiasa menjaga harga diri, lebih-lebih lagi ketika berada di luar rumah.
“Sebagai perempuan, kita kena jaga diri sendiri. Di luar ni macam-macam orang tengok kita. Jadi kita kena pandai pelihara maruah,” katanya.
Perkongsian ikhlas daripada tiga orang adik ini nyata menyentuh hati ramai, khususnya dalam suasana menjelang Aidilfitri, sekali gus membawa mesej bahawa kecantikan sebenar bermula daripada kesedaran menjaga aurat, maruah dan nilai diri sebagai wanita.
#TutupAuratTapiCantik #WanitaBerharga!#BantuanHariRaya #YayasanPEKEMA #JagaMaruahDiri #InspirasiWanita #Ramadan2026 #AidilfitriBermakna #BeritaAAC #SuaraRakyat