
KUALA LUMPUR, 22 Februari 2026 – Gabungan politik Perikatan Nasional (PN) hari ini secara rasmi melantik Menteri Besar Terengganu, Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai Pengerusi PN yang baharu, berkuat kuasa serta-merta.
Keputusan itu dicapai menerusi Mesyuarat Luar Biasa Majlis Tertinggi PN yang berlangsung jam 3 petang di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut, di sini.
Mesyuarat berkenaan turut dihadiri semua ahli Majlis Tertinggi PN termasuk empat Presiden parti komponen iaitu Muhyiddin Mohd Yassin (BERSATU), Abdul Hadi Awang (PAS), Dominic Lau How Chai (GERAKAN) serta P. Punithan (MIPP).
Menurut kenyataan bersama kepimpinan PN, agenda utama mesyuarat adalah meluluskan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin sebagai Pengerusi PN yang berkuat kuasa mulai 1 Januari 2026, selain melantik pengerusi baharu bagi menerajui gabungan itu.
Mesyuarat sebulat suara menerima peletakan jawatan Muhyiddin sebelum melantik Ahmad Samsuri sebagai Pengerusi PN yang baharu, sekali gus menandakan fasa kepimpinan baharu dalam gabungan berkenaan.
PN memaklumkan, perkara-perkara lain berkaitan hala tuju gabungan akan dibincangkan dan diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi PN yang akan datang.
Pelantikan Ahmad Samsuri dilihat sebagai langkah strategik menjelang persiapan menghadapi PRU16, dengan fokus memperkukuh kesepaduan parti-parti komponen serta merangka gerak kerja politik yang lebih tersusun.