
KUALA LUMPUR – Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Melaka disifatkan paling sesuai diadakan selepas Hari Raya Aidilfitri atau selewat-lewatnya selepas Hari Raya Aidiladha bagi memastikan keadaan politik dan ekonomi negara berada dalam situasi yang lebih stabil.
Ketua Penerangan UMNO Cawangan Presint Jasa, Dr Azam Rauzan, berkata tempoh tersebut merupakan masa terbaik untuk melaksanakan pilihan raya sebelum keadaan ekonomi global yang tidak menentu memberi kesan lebih besar kepada rakyat.
Menurut beliau, sekiranya pilihan raya ditangguhkan terlalu lama, faktor seperti inflasi, tekanan ekonomi dan ketidaktentuan geopolitik dunia boleh memberi kesan kepada sentimen rakyat.
“Bagi saya masa terbaik untuk melakukan PRN Melaka dan Johor adalah selepas Raya. Lagi lambat kita buat, lagi banyak masalah mungkin timbul,” katanya ketika menjawab soalan wartawan mengenai kemungkinan masa sesuai menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Dalam pada itu, beliau turut menyatakan keyakinan bahawa Barisan Nasional (BN) berpotensi mencatat kemenangan baik di kedua-dua negeri sekiranya parti itu bertanding secara solo.
Dr Azam berkata Melaka ketika ini berada dalam keadaan politik yang relatif stabil, manakala Johor pula menunjukkan perkembangan positif di bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, yang disifatkannya sebagai pemimpin muda yang dinamik.
“Saya melihat Melaka tidak ada masalah besar. Johor juga menunjukkan perkembangan yang baik kebelakangan ini,” katanya.
Namun begitu, beliau mengingatkan pemimpin UMNO Johor agar tidak mudah melayan provokasi politik daripada parti lain yang mungkin cuba mencetuskan polemik berkaitan pembahagian kerusi.
“Kalau ada parti lain cuba cetuskan isu kerusi atau provokasi, buat sahaja tidak tahu. Fokus kepada kerja untuk rakyat,” ujarnya.
Mengulas mengenai kemungkinan PRU16 diadakan serentak dengan beberapa pilihan raya negeri, Dr Azam berpendapat langkah itu berpotensi memberi kesan lebih besar dari segi strategi politik, namun keputusan tersebut bergantung kepada kepimpinan tertinggi kerajaan.
“Kalau saya Perdana Menteri, saya akan buat serentak. Tapi saya bukan Perdana Menteri, jadi itu bukan keputusan saya,” katanya secara berseloroh.
Beliau turut menekankan kepentingan usaha penjenamaan semula imej Barisan Nasional agar parti itu kembali dilihat sebagai simbol kestabilan politik dan pembangunan negara.
Menurutnya, identiti serta imej BN perlu terus diperkukuh bagi memastikan parti itu kekal relevan dan diyakini rakyat menjelang pilihan raya akan datang.
#PRU16 #PolitikMalaysia #BarisanNasional #UMNO #PRNJohor #PRNMelaka #DrAzamRauzan #PolitikSemasa #BeritaAAC #MalaysiaPolitik