
KELANA JAYA, 16 Mac 2026 – Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) dengan kerjasama Coca-Cola Malaysia terus menyemarakkan semangat Ramadan menerusi pelaksanaan program Sinar Kasih Aidilfitri, yang memberi manfaat kepada 1,000 keluarga memerlukan melalui pengagihan 1,000 karton minuman jenama Fanta.
Program tersebut merupakan sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang bertujuan menceriakan sambutan Aidilfitri golongan kurang berkemampuan, selain menyemai semangat kebersamaan dalam masyarakat.


Bagi fasa pertama yang berlangsung di Dewan Blok ABC, PPR Lembah Subang 1, Taman Putra Damai, seramai 150 keluarga daripada komuniti setempat telah menerima sumbangan tersebut.
Menurut pihak penganjur, baki sebanyak 850 karton minuman akan diagihkan pada minggu terakhir Ramadan melalui kerjasama rakan strategik yang terdiri daripada pelbagai NGO, persatuan serta komuniti di beberapa lokasi terpilih.

Majlis pengagihan tersebut turut disempurnakan oleh Pengerusi Yayasan Basmi Kemiskinan, YBhg. Dato’ Haji Zainal Abidin Sakom, bersama duta kempen “Wanta Fanta”, pasangan selebriti Awal Ashaari dan Scha Al-Yahya yang hadir menyantuni penerima serta menyampaikan sumbangan secara langsung.
Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan YBK dalam membantu golongan memerlukan di samping memperkukuh kerjasama strategik bersama sektor korporat bagi memperluaskan impak kebajikan kepada masyarakat.
YBK turut berharap program seumpama ini bukan sahaja mampu menceriakan sambutan Aidilfitri para penerima, malah dapat menyemai nilai keprihatinan serta semangat berkongsi rezeki dalam kalangan rakyat Malaysia.
#SinarKasihAidilfitri #YBKPrihatin #CocaColaMalaysia #FantaMalaysia #BantuanRaya #KongsiRezeki #CSRMalaysia #PrihatinKomuniti #Ramadan2026 #MalaysiaMADANI