
KUALA LUMPUR, 15 Mac 2026 – Gabungan NGO IKHLAS dan NGO INECO menggesa Majlis Keselamatan Negara (MKN) memainkan peranan lebih aktif dalam menangani kemelut yang melibatkan Muhammad Zamri Vinoth Kalimuthu yang kini hangat diperdebatkan dan dikhuatiri boleh menjejaskan keharmonian negara.
Dalam satu surat terbuka yang dihantar kepada Perdana Menteri merangkap Pengerusi MKN, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, serta Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail, gabungan NGO tersebut menegaskan bahawa isu berunsur kaum dan agama (3R) tidak seharusnya ditangani melalui pendekatan perundangan semata-mata.
Pengerusi Sekretariat Gabungan NGO IKHLAS dan NGO INECO, Ridzuan Ikhlas, berkata isu yang berlaku ketika ini memerlukan pendekatan lebih menyeluruh melibatkan mekanisme keselamatan sosial bagi meredakan keresahan rakyat di peringkat akar umbi.
Menurut beliau, sekiranya tindakan hanya diambil terhadap satu pihak sahaja, ia berpotensi menimbulkan persepsi ketidakadilan serta menyemarakkan lagi ketegangan dalam masyarakat.
“Pendakwaan terhadap saudara Zamri Vinoth semata-mata bukanlah jalan penyelesaian yang tuntas. Jika tindakan hanya dikenakan terhadap satu pihak, ia boleh dilihat sebagai tidak adil dan hanya memburukkan lagi keadaan,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Sehubungan itu, gabungan NGO berkenaan mencadangkan agar MKN memudah cara satu dialog terbuka dan pertemuan bersemuka antara Zamri Vinoth dengan pihak-pihak yang didakwa terlibat dalam provokasi, termasuk beberapa individu yang dinamakan dalam kenyataan tersebut.
Menurut Ridzuan, dialog yang diadakan di bawah pemantauan badan keselamatan tertinggi negara itu dilihat sebagai pendekatan terbaik untuk meredakan ketegangan serta mencari jalan penyelesaian yang lebih konstruktif.
Selain itu, beliau turut menegaskan bahawa siasatan terhadap isu berkenaan perlu dilakukan secara menyeluruh tanpa memilih pihak tertentu.
Katanya, sekiranya terdapat unsur hasutan yang membawa kepada insiden seperti serangan fizikal, pembakaran kenderaan atau pecah rumah, maka semua pihak yang didakwa terlibat juga perlu dipanggil untuk siasatan bagi memastikan keadilan dapat ditegakkan.
“Fokus utama semua pihak termasuk MKN, PDRM dan NGO adalah untuk mencari jalan perdamaian yang tuntas demi memastikan perpaduan kaum dan kestabilan negara terus terpelihara,” katanya.
Beliau turut berharap pihak berkuasa dapat mempertimbangkan cadangan tersebut bagi memastikan keharmonian masyarakat dan kepentingan nasional sentiasa menjadi keutamaan.
#ZamriVinoth #Isu3R #PerpaduanMalaysia #DialogNasional #MajlisKeselamatanNegara #IsuSemasaMalaysia #PolitikMalaysia #HarmoniMalaysia #AACNews #BeritaAAC