
KUALA LUMPUR, 16 Mac 2026 – Ketua UMNO Bahagian Bangi, Dato’ Mohd Zaidi Md Zain, menyifatkan dakwaan yang dibangkitkan Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli, berhubung isu RM14 juta yang didakwa melibatkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, sebagai satu perkara serius yang tidak boleh dipandang ringan.
Menurut beliau, dakwaan terhadap seorang penjawat awam di peringkat tertinggi, khususnya membabitkan ketua agensi penguatkuasaan utama negara, perlu ditangani segera menerusi siasatan menyeluruh oleh pihak berkuasa.
Katanya, isu berkenaan bukan sahaja melibatkan individu yang dituduh, malah turut memberi kesan langsung terhadap imej dan kredibiliti keseluruhan organisasi SPRM.
“Dalam hal ini saya melihat apa yang dikatakan oleh Rafizi itu adalah satu perkara yang serius. Apabila pihak yang dituduh itu melibatkan seorang penjawat awam di peringkat tertinggi iaitu Pesuruhjaya SPRM, maka perkara ini perlu diambil tindakan tegas dan tidak boleh dipandang enteng,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan terbaharu berhubung pemilikan aset bernilai RM14 juta dalam sembilan syarikat yang dikaitkan dengan Tan Sri Azam Baki, walaupun sehingga kini didakwa belum disertakan bukti kukuh atau aduan rasmi oleh pihak berkaitan kepada SPRM mahupun polis.
Zaidi turut berpandangan bahawa penyebaran dakwaan seumpama itu tanpa penyelesaian segera berpotensi menimbulkan keresahan awam, selain membuka ruang kepada fitnah dan maklumat yang tidak sahih terus berlegar dalam masyarakat.
Dalam pada itu, beliau mendakwa serangan terbuka terhadap Azam Baki juga boleh dilihat sebagai cubaan mencalar kredibiliti SPRM yang kini agresif mengambil tindakan terhadap pihak-pihak yang terlibat dalam pelbagai kesalahan di bawah bidang kuasanya.
“Saya melihat ini adalah cubaan untuk merosakkan kredibiliti SPRM, yang sekarang ini kita lihat begitu agresif sekali mengambil tindakan ke atas pihak-pihak yang terlibat dalam kegiatan jenayah di bawah bidang kuasa SPRM,” ujarnya.
Beliau turut mendakwa kenyataan Rafizi berhubung perkara itu mempunyai agenda tertentu, sambil menegaskan bahawa desakan supaya siasatan dibuat segera turut disuarakan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menurutnya prihatin terhadap usaha SPRM membanteras salah laku dan kerugian kepada negara.
Tambah beliau, tindakan siasatan dan tangkapan yang dijalankan SPRM selama ini adalah demi kepentingan negara dan rakyat, memandangkan sebarang ketirisan atau penyelewengan memberi implikasi besar kepada kewangan negara.
Sehubungan itu, Zaidi berkata laporan polis yang telah dibuat berhubung isu berkenaan perlu disusuli dengan tindakan pantas pihak polis bagi menjalankan siasatan terperinci.
Katanya, sekiranya dakwaan tersebut didapati tidak benar, tindakan undang-undang wajar dipertimbangkan terhadap pihak yang membuat tuduhan terbabit.
“Apabila laporan polis telah dibuat, maka pihak polis hendaklah bertindak segera membuat siasatan atas perkara ini. Sekiranya tidak benar, maka orang yang membuat aduan itu boleh dipertuduhkan,” katanya.
Beliau berkata hasil siasatan itu kemudiannya perlu dilengkapkan dan diserahkan kepada Peguam Negara untuk tindakan lanjut mengikut lunas undang-undang.
Zaidi menegaskan, perkara seperti ini tidak boleh dibiarkan berlarutan kerana ia bukan sahaja menjejaskan keyakinan rakyat terhadap institusi penguatkuasaan, malah boleh mencetuskan persepsi negatif terhadap usaha memerangi rasuah dalam negara.
#BeritaAAC #Semasa #PolitikMalaysia #RafiziRamli #AzamBaki #SPRM #IsuRM14Juta #SiasatanSegera #KredibilitiSPRM!#TegasLawanFitnah