
KUALA LUMPUR – UMNO kekal sebagai parti politik yang relevan dalam landskap negara meskipun berdepan pelbagai cabaran dan pergolakan dalaman sejak beberapa dekad lalu, kata penganalisis politik, Shahbudin Embun.
Beliau berkata, sejarah panjang UMNO sejak penubuhannya pada tahun 1946 serta peranannya dalam memperjuangkan kemerdekaan dan mentadbir negara selama lebih 60 tahun menjadi bukti kukuh terhadap kekuatan dan keupayaan parti itu.
Menurutnya, walaupun ramai pemimpin berpengaruh pernah dipecat atau keluar parti, termasuk tokoh-tokoh besar, kebanyakan daripada mereka akhirnya kembali kepada UMNO.
“Ini menunjukkan UMNO masih menjadi platform utama orang Melayu untuk kembali bersatu dan berjuang,” katanya ketika menjawab soalan wartawan mengenai relevansi UMNO sebagai wadah utama orang Melayu.
Mengulas lanjut, Shahbudin menjelaskan bahawa UMNO pernah melalui detik sukar, termasuk kehilangan majoriti dua pertiga dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-11 serta kejatuhan kerajaan Barisan Nasional pada PRU ke-14.
Beliau turut mengaitkan kejatuhan tersebut dengan beberapa faktor termasuk perpecahan dalaman, isu-isu besar seperti 1MDB serta peranan bekas pemimpin yang menentang kepimpinan parti ketika itu.
“Namun begitu, walaupun dalam keadaan ‘nyawa-nyawa ikan’, UMNO masih mampu bertahan dan kekal relevan kerana rakyat menilai sumbangan serta rekod pentadbirannya,” ujarnya.
Tambah beliau, pengalaman dan prestasi pemimpin UMNO dalam pentadbiran negara turut menjadi antara faktor yang terus menarik sokongan rakyat, termasuk golongan atas pagar.
Shahbudin turut menyatakan keyakinannya bahawa UMNO berpotensi kembali menjadi teras kepimpinan negara pada masa hadapan, selari dengan pendekatan keterbukaan yang dibawa oleh kepimpinan parti ketika ini.
“Langkah ‘ampun dan maaf’ yang ditawarkan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membuka ruang kepada mana-mana pemimpin yang pernah meninggalkan parti untuk kembali demi memperkukuh perpaduan Melayu,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa konsep “Rumah Bangsa” yang diketengahkan UMNO mampu menjadi platform penyatuan, sekali gus memperkukuh kedudukan parti sebagai wadah utama orang Melayu di negara ini.
#UMNO #PolitikMalaysia #RumahBangsa #PRU16 #BeritaAAC