
KUALA LUMPUR, 18 Mac 2026 – Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, menzahirkan penghargaan terhadap usaha Pengerusi Maahad Tahfiz Al Faridiyah, Dato’ Jawahar Ali bersama pasukannya dalam menjayakan program agihan bantuan beras kepada masyarakat setempat sempena Ramadan.

Menurut beliau, inisiatif kebajikan seperti itu amat bermakna walaupun bantuan yang disalurkan kelihatan sederhana, namun nilainya sangat besar kepada golongan yang memerlukan, khususnya dalam membuat persiapan menyambut Aidilfitri.
“Walaupun nilainya nampak seperti sekampit beras, tetapi kepada mereka yang memerlukan, ia amat berharga dalam menyambut Hari Raya yang akan datang,” katanya ketika berucap dalam program berkenaan.

Johari turut menegaskan bahawa program tersebut mencerminkan semangat perpaduan apabila penerima bantuan bukan sahaja terdiri daripada umat Islam, malah melibatkan pelbagai kaum dan agama.
Katanya, keadaan itu membuktikan masih ramai rakyat di peringkat akar umbi yang memerlukan perhatian dan pembelaan, justeru usaha seperti yang digerakkan Jawahar Ali wajar dicontohi lebih ramai pihak.
“Saya yakin rakyat di sekeliling ini amat berterima kasih kepada Dato’ Ali kerana prihatin terhadap keadaan yang sedang mereka lalui. Kalau lebih ramai sanggup membantu mereka yang susah, Malaysia akan aman,” ujarnya.
Beliau turut menyeru agar golongan yang menerima bantuan hari ini memasang iltizam untuk turut membantu orang lain pada masa hadapan apabila diberikan rezeki dan kemampuan.
Dalam pada itu, Dato’ Jawahar Ali memaklumkan bahawa program bantuan beras yang dianjurkan itu telah memasuki tahun kelima, manakala bantuan Hari Raya pula telah dilaksanakan sejak 32 tahun lalu, bermula pada 1994.

Menurut beliau, sebanyak 3,330 kampit beras telah disediakan dalam program kali ini untuk diagihkan kepada masyarakat tanpa mengira latar belakang kaum atau agama.
“Di sini kita tidak pilih siapa bangsa, apa agama, semuanya kita santuni. Kerja kita hanyalah mengagihkan amanah yang telah diberikan kepada kita,” katanya.
Jawahar berkata, idea program bantuan beras itu tercetus secara spontan kira-kira lima tahun lalu selepas memikirkan bentuk sumbangan yang lebih dekat dengan keperluan rakyat ketika Ramadan.
Beliau turut berkongsi hasrat untuk mewujudkan sebuah mesin ATM beras pada masa depan bagi memudahkan agihan kepada golongan yang benar-benar layak melalui sistem pendaftaran seperti kad ATM.
Selain itu, beliau juga merancang untuk meneruskan penganjuran program kebajikan lain termasuk majlis hijab kabul melibatkan pasangan yang memerlukan, yang sebelum ini pernah diusahakan bersama agensi berkaitan.
Dalam ucapannya, Jawahar turut berharap lebih banyak masjid dan surau di negara ini tampil menganjurkan program menyantuni masyarakat setempat berbanding menumpukan kepada aktiviti lain yang kurang menyentuh keperluan asas rakyat.
Beliau menegaskan bahawa kegiatan amal jariah perlu diteruskan dan diwariskan kepada generasi seterusnya agar budaya membantu masyarakat terus subur dalam kehidupan bermasyarakat.
#BeritaAAC #JohariAbdul #JawaharAli!#BantuanBeras #Ramadan2026 #SantuniMasyarakat #AmalJariah #Aidilfitri2026 #PrihatinRakyat #MalaysiaMadani