
KUALA LUMPUR, 25 Mar 2026 – Naib Presiden PKR, Datuk Seri R. Ramanan menafikan sekeras-kerasnya dakwaan kononnya beliau terlibat dalam transaksi saham bernilai RM9.5 juta yang tular baru-baru ini.
Ramanan yang juga Menteri Sumber Manusia menyifatkan dakwaan yang dikaitkan dengan seorang individu dikenali sebagai Victor Chin itu sebagai satu naratif kotor yang bertujuan menjatuhkan imej beliau, parti PKR serta Ahli Parlimen kerajaan.
Menurut beliau, dakwaan tersebut menggunakan taktik samar dengan hanya merujuk kepada individu sebagai “Mr R” tanpa menamakan secara jelas pihak yang dimaksudkan.
“Jangan bermain teka-teki. Sebutkan nama terus supaya tindakan undang-undang boleh diambil dan kebenaran dapat dibuktikan.
“Kalau benar ada isu mafia korporat seperti didakwa, tampilkan bukti. Jangan sekadar melempar tuduhan tanpa asas,” katanya.
Ramanan yang juga Ahli Parlimen Sungai Buloh turut menegaskan bahawa beliau tidak mempunyai sebarang pemilikan saham seperti yang didakwa, malah menyifatkan tuduhan tersebut sebagai tidak logik.
Katanya, sebagai wakil rakyat, adalah tidak munasabah untuk mengaitkan Ahli Parlimen dengan transaksi saham berskala besar tanpa sebarang bukti sah.
“Saya tidak pernah mengenali individu tersebut secara peribadi, apatah lagi terlibat dalam sebarang urusan seperti didakwa.
“Kita ada Suruhanjaya Sekuriti dan Bank Negara yang memantau transaksi kewangan. Tidak masuk akal untuk MP terlibat dalam urus niaga ratusan juta secara sembunyi,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau telah mengarahkan semua ketua cabang PKR di seluruh negara untuk membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dijalankan terhadap dakwaan tersebut.
Ramanan menegaskan bahawa tindakan tegas perlu diambil bagi memastikan fitnah tidak terus berleluasa dan mengelirukan rakyat.
#Ramanan #IsuSaham #PolitikMalaysia #FitnahAtauFakta #BeritaAAC