
KUALA LUMPUR, 25 Mac 2026 – Pergolakan politik yang sedang melanda pelbagai parti di negara ini dilihat berpotensi memberi kelebihan kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Pengerusi NGO MICCF, Baha Taha, berkata situasi politik semasa memperlihatkan banyak parti sedang berdepan ketegangan dalaman, namun dalam masa sama masing-masing masih berusaha mengatur strategi dan kompromi politik secara tersusun.
Menurut beliau, perkembangan itu dapat dilihat menerusi beberapa episod semasa termasuk perpecahan dalam parti tertentu, gerakan penyatuan Melayu, penubuhan gagasan seperti Rumah Bangsa, serta pelbagai manuver politik yang sedang berlangsung secara terbuka dan juga tersirat.
“Sepanjang bulan puasa ini kita tengok politik agak tegang tetapi tidak meletus. Masing-masing sedang mengatur cara dan berkompromi untuk melancarkan plot-plot politik yang agak tersembunyi,” katanya ketika menjawab pertanyaan wartawan mengenai situasi politik semasa negara.
Mengulas lanjut, Baha berkata pelancaran gagasan Rumah Bangsa oleh UMNO dan BN merupakan satu langkah penting dalam usaha mengembalikan semula kekuatan parti, khususnya dengan membuka ruang kepada bekas ahli yang pernah dipecat, digantung atau keluar parti untuk kembali semula.
Katanya, pendekatan itu memperlihatkan kesediaan UMNO dan BN untuk menyatukan semula saf perjuangan demi memperkukuh agenda agama, bangsa dan tanah air.
“UMNO dan Barisan Nasional telah menjemput ahli-ahli yang selama ini tersingkir, dipecat, digantung ataupun keluar dengan sendirinya agar pulang kembali ke pangkuan UMNO dan Barisan Nasional,” ujarnya.
Beliau turut berpandangan bahawa UMNO dan BN kini sedang menyusun satu bentuk kolaborasi lebih besar dengan membuka ruang kerjasama kepada parti-parti lain bagi menghadapi PRU16.
Menurutnya, usaha tersebut tidak seharusnya dilihat terhad kepada orang Melayu semata-mata, sebaliknya perlu diperluaskan kepada semua kaum di negara ini dalam semangat kerjasama politik yang lebih menyeluruh.
Dalam pada itu, Baha turut menyeru parti komponen BN seperti MIC dan MCA agar terus kekal utuh dalam gabungan tersebut serta tidak mudah terpengaruh dengan polemik semasa.
“Duduklah diam-diam dalam Barisan Nasional kerana UMNO tidak pernah menganak-tirikan MCA dan MIC,” katanya.
Selain menyentuh soal politik, beliau turut melahirkan kebimbangan terhadap isu kos sara hidup yang menurutnya semakin menekan rakyat susulan kemungkinan kenaikan harga minyak, diesel serta kos pengangkutan.
Baha berkata, situasi itu akan memberi kesan langsung kepada harga barangan dan beban perbelanjaan harian rakyat jika tidak ditangani secara serius oleh kerajaan.
Beliau mendakwa keadaan itu sudah mula dirasai di lapangan, termasuk suasana suram di beberapa kawasan tumpuan perniagaan seperti Pasar Raja Alang di Kuala Lumpur yang menurutnya tidak lagi semeriah dahulu.
“Masalah paling kritikal hari ini adalah masalah kos sara hidup. Kerajaan mesti ambil tindakan yang betul-betul drastik dan prihatin kerana rakyat yang akan terus terkesan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan supaya tidak terus memberi alasan berhubung faktor antarabangsa, sebaliknya tampil dengan penyelesaian segera termasuk mempertimbangkan semula soal subsidi atau langkah intervensi yang mampu meringankan beban rakyat.
Pada masa sama, Baha menegaskan sokongan beliau terhadap UMNO dan BN tetap utuh, sambil menyeru orang ramai terutama bekas ahli serta penyokong lama agar kembali bersama parti itu menjelang PRU16.
“Sebagai pemimpin NGO tempatan, saya ambil peluang ini untuk menyokong dan mendukung UMNO dan Barisan Nasional menjelang PRU16 akan datang. Kembalilah ke pangkal jalan, iaitu ke pangkuan UMNO dan Barisan Nasional,” katanya.
#BeritaAAC #PRU16 #UMNO #BarisanNasional #KosSaraHidup