
KULIM, 26 Mac 2026 – Aktivis sosial, Dato’ Dr. Kalaivanar mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan segera terhadap dakwaan kewujudan pekerja asing tanpa dokumen sah yang didakwa bekerja di sebuah tapak pembinaan industri di Kulim, Kedah.
Beliau yang hadir bersama pasukan Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara (SBKN) Kedah berkata, isu berkenaan tidak boleh dipandang ringan kerana ia didakwa melibatkan soal pematuhan undang-undang serta peluang pekerjaan rakyat tempatan.

Menurut beliau, Malaysia sentiasa mengalu-alukan pelabur asing, namun semua pihak tetap tertakluk kepada undang-undang negara tanpa pengecualian.
“Kita alu-alukan pelabur asing datang ke Malaysia, tetapi siapa pun mereka, nobody is above the law. Undang-undang mesti dilaksanakan secara adil kepada semua,” katanya dalam sidang media di Kulim, hari ini.
Kalaivanar turut membandingkan tindakan penguatkuasaan pihak berkuasa tempatan terhadap peniaga kecil tempatan dengan dakwaan berhubung kehadiran pekerja asing tanpa permit yang didakwa masih bebas bekerja.
Beliau berkata, perkara itu menimbulkan persoalan dalam kalangan rakyat mengenai ketegasan dan keadilan pelaksanaan undang-undang.
Menurutnya, beliau menerima pelbagai aduan khususnya daripada penduduk di Kulim yang mendakwa semakin sukar memperoleh peluang pekerjaan, termasuk dalam sektor pembinaan, kerana ia didakwa dikuasai tenaga kerja asing.
Katanya, keadaan itu membimbangkan kerana boleh memberi tekanan kepada golongan belia dan anak tempatan yang sedang mencari sumber pendapatan halal.
Dalam pada itu, Kalaivanar memaklumkan pihaknya telah mengadakan pertemuan dengan wakil penguat kuasa imigresen dan menegaskan bahawa perjuangan mereka akan diteruskan melalui saluran undang-undang.
Beliau menjelaskan, pihaknya tidak mengambil tindakan sendiri terhadap mana-mana individu, sebaliknya hanya menyalurkan maklumat dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan serta penguatkuasaan.
“Kami tidak ambil undang-undang di tangan sendiri. Kami tidak buat ancaman, tidak periksa pasport sesiapa. Itu bukan hak kami. Tugas kami hanya menonjolkan perkara yang berlaku dan mendesak agensi berkaitan bertindak,” katanya.
Sehubungan itu, beliau memohon pihak Jabatan Imigresen Malaysia, termasuk kepimpinan di peringkat persekutuan dan negeri Kedah, menyiasat dakwaan tersebut dengan segera serta mengambil tindakan jika benar wujud sebarang pelanggaran undang-undang.
Kalaivanar turut merujuk beberapa peruntukan di bawah Akta Imigresen 1959/63 yang menurutnya boleh digunakan oleh pihak berkuasa dalam menjalankan siasatan dan penguatkuasaan.
Tegas beliau, perjuangan itu bukan ditujukan kepada mana-mana kaum atau negara tertentu, tetapi demi mempertahankan kedaulatan undang-undang, maruah negara serta memastikan tiada unsur salah guna kuasa atau rasuah dalam pelaksanaan penguatkuasaan.
Beliau pada masa sama menyeru kerajaan dan agensi berkaitan supaya bertindak tegas, telus dan saksama demi menjaga kepentingan rakyat serta imej negara.
#BeritaAAC #Kalaivanar #Kulim #ImigresenMalaysia #IsuPekerjaAsing