
KUALA LUMPUR, 27 Mac 2026 – Ketua UMNO Bahagian Batu Wilayah Persekutuan, Gulam Muszaffar, mendesak agar kerajaan merombak semula pelantikan seluruh Ahli Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP) susulan dakwaan pelbagai isu integriti, ketelusan dan salah guna kuasa yang dikatakan semakin membimbangkan.
Menurut beliau, isu berkenaan timbul selepas tular insiden melibatkan dua Ahli Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) di Wangsa Maju yang mencetuskan kemarahan serta ketidakpuasan hati warga Wilayah Persekutuan berhubung dakwaan kewujudan “SOP Baharu MPP”.
Katanya, kejadian itu secara tidak langsung telah mencemarkan imej Jabatan Wilayah Persekutuan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang menguruskan urusan berkaitan pelantikan ahli MPPWP.
Gulam mempersoalkan sama ada pelantikan bagi tempoh tiga tahun yang diperakukan sebelum ini benar-benar melalui proses tapisan menyeluruh terhadap nama-nama yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen dan Ketua Cabang bagi zon serta sub zon MPP di kawasan masing-masing.
Beliau turut menimbulkan persoalan sama ada semakan melibatkan pihak polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Insolvensi benar-benar dilaksanakan sebelum seseorang individu dilantik memegang jawatan tersebut.
Menurut beliau, selepas isu di Wangsa Maju dibangkitkan, pihaknya menerima pelbagai maklumat yang mendakwa kejadian hampir sama turut berlaku di beberapa kawasan Parlimen lain termasuk di Batu, khususnya di Bandar Baru Sentul dan Pasar Borong Selayang.
Katanya, terdapat dakwaan bahawa ada segelintir ahli MPP di kawasan terbabit dikaitkan dengan amalan tidak berintegriti, namun mereka yang terkesan tidak berani tampil membuat laporan atau mendedahkan bukti kerana bimbang berdepan tindakan intimidasi.
Selain itu, beliau turut mendakwa menerima maklumat bahawa terdapat segelintir Ahli MPPWP yang pernah mempunyai rekod jenayah atau berstatus muflis tetapi tetap dilantik memegang jawatan berkenaan.
Gulam berkata, keadaan itu menimbulkan kebimbangan serius kerana pelantikan sepatutnya dibuat berasaskan kelayakan, integriti dan kemampuan untuk berkhidmat kepada komuniti setempat, bukannya semata-mata atas kepentingan politik.
Beliau juga mendakwa terdapat rungutan dalam kalangan Ahli MPP sendiri berhubung isu ketelusan pentadbiran, khususnya apabila aktiviti, program serta perbelanjaan geran didakwa tidak dibincangkan dan diputuskan secara menyeluruh dalam mesyuarat di peringkat zon dan sub zon.
Sebaliknya, menurut beliau, hanya segelintir pihak didakwa membuat keputusan tanpa melibatkan semua ahli, sekali gus menimbulkan persoalan besar terhadap tadbir urus dan ketelusan dalam pengurusan MPPWP.
Sehubungan itu, Gulam menuntut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, serta Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan, Datuk Azmi Mohd Zain, supaya merombak semula keseluruhan pelantikan Ahli MPPWP.
Beliau menegaskan, pelantikan baharu perlu dibuat dengan garis panduan yang lebih ketat serta proses tapisan lebih menyeluruh bagi memastikan institusi MPPWP benar-benar berfungsi secara tertib, berhemah dan selari dengan objektif penubuhannya.
Dalam masa sama, beliau turut menyifatkan keputusan UMNO Bahagian Batu sebelum ini untuk tidak menyertai MPPWP sebagai langkah tepat kerana berjaya mengelakkan parti itu daripada terkena tempias isu yang kini tular.
Beliau berharap tindakan tegas dapat diambil segera agar keyakinan rakyat terhadap institusi perwakilan penduduk di Wilayah Persekutuan dapat dipulihkan.
#MPPWP #GulamMuszaffar #WangsaMaju #WilayahPersekutuan #IsuIntegriti