
KUALA LUMPUR, 28 Mac 2026 – Ketua UMNO Cawangan Presint Jasa, Dr. Norman Sapar, berpandangan bahawa konflik melibatkan Iran, Israel dan Amerika Syarikat berpotensi memberi kesan langsung kepada ekonomi dunia termasuk Malaysia, khususnya dari sudut kenaikan harga minyak dan beban kos yang ditanggung rakyat.
Beliau berkata, peperangan yang berlaku di rantau pengeluar serta laluan utama minyak dunia sememangnya tidak membawa kebaikan kepada mana-mana negara, malah kesannya turut dirasai oleh Malaysia walaupun negara ini bukan pengeluar minyak utama dunia.
Menurut beliau, Malaysia masih terdedah kepada turun naik harga minyak global kerana harga bahan api tempatan turut dipengaruhi pasaran dunia, selain negara juga masih bergantung kepada import minyak dalam beberapa aspek tertentu.
“Bila perang berlaku di kawasan pengeluar utama minyak dan laluan pengangkutan minyak dunia, sudah tentu kesannya akan dirasai oleh seluruh dunia termasuk Malaysia. Kesan perang bukan sesuatu yang baik, ia memberi implikasi kepada ekonomi dan kos sara hidup rakyat,” katanya ketika mengulas perkembangan semasa berhubung konflik tersebut.
Dr. Norman berkata, kesan paling ketara yang perlu diberi perhatian ialah harga minyak diesel yang disifatkannya mengalami kenaikan amat ketara dan boleh menjejaskan keseluruhan rantaian ekonomi negara.
Jelas beliau, diesel merupakan bahan api utama yang digunakan dalam pelbagai sektor penting termasuk pengangkutan barangan, perkhidmatan bas, operasi mesin industri dan sebahagian penjanaan tenaga, justeru sebarang kenaikan mendadak akan memberi tekanan besar kepada ekonomi negara.
“Lori-lori, bas, mesin-mesin, kebanyakannya menggunakan diesel. Ini minyak utama yang menggerakkan ekonomi kita. Bila diesel naik terlalu tinggi, ia akan beri kesan besar kepada keseluruhan ekonomi Malaysia,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan mengapa kenaikan harga diesel di Malaysia dilihat terlalu ketara walaupun peningkatan harga minyak dunia ketika ini, menurutnya, tidaklah terlalu mendadak seperti mana yang digambarkan.
Dalam masa sama, Dr. Norman berkata ramai rakyat kini membuat perbandingan antara situasi semasa dengan era pentadbiran terdahulu, termasuk ketika kerajaan Barisan Nasional dan kerajaan Perikatan Nasional, yang menurut mereka harga bahan api masih dapat dikawal dengan lebih baik.
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan supaya menilai semula pendekatan sedia ada dalam mengurus isu kenaikan diesel agar kesannya terhadap ekonomi tidak menjadi lebih buruk.
“Kerajaan kena bijak mengurus dan fikir balik sama ada tindakan menaikkan harga diesel secara agak mendadak itu satu keputusan yang baik dan tepat atau tidak. Kena fikir semula,” katanya.
Mengulas alasan kenaikan diesel dikaitkan dengan usaha mengekang ketirisan dan penyeludupan, Dr. Norman menegaskan bahawa kerajaan sepatutnya menambah baik mekanisme kawalan dan penguatkuasaan, bukannya mengambil langkah yang akhirnya memberi tekanan kepada rakyat dan sektor ekonomi.
Katanya, jika benar isu kebocoran dan penyeludupan menjadi punca utama, maka penyelesaiannya ialah memperkemaskan sistem kawalan supaya ketirisan dapat dibendung tanpa menjejaskan kestabilan ekonomi domestik.
Beliau juga mempersoalkan dakwaan Perdana Menteri bahawa 90 peratus rakyat tidak terkesan dengan pelaksanaan berkaitan subsidi diesel dan bantuan di bawah skim BUDI, kerana menurutnya kaedah serta asas kajian tersebut tidak diperjelaskan secara terbuka.
“Saya pun tak tahu siapa yang buat kajian itu. Kalau betul 90 peratus rakyat tak terkesan, cubalah turun tanya sendiri rakyat. Tanya 10 orang, cukup tak kuota 200 liter sebulan itu untuk kegunaan mereka? Dari situ kita boleh tengok realiti sebenar,” katanya lagi.
Dr. Norman berpandangan kerajaan perlu lebih peka terhadap suara rakyat dan memastikan sebarang dasar berkaitan bahan api dilaksanakan secara lebih berhati-hati supaya tidak mencetuskan kesan berganda terhadap harga barang, kos perkhidmatan dan tekanan hidup rakyat.
#HargaDiesel #KosSaraHidup #EkonomiMalaysia #BeritaAAC #PMX