
KUALA LUMPUR, 28 Mac 2026 – Ketua UMNO Cawangan Wangsa Sari, Wangsa Maju, Mazlan Latif menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan menyeluruh berhubung isu membabitkan dua individu dikaitkan dengan Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Wangsa Maju yang tular baru-baru ini.
Menurut beliau, tindakan pihak berkuasa yang setakat ini menerima beberapa laporan polis serta langkah menggugurkan individu terlibat daripada jawatan MPP merupakan perkembangan awal yang wajar dihargai, namun menegaskan siasatan tidak seharusnya terhenti di situ sahaja.
Mazlan berkata, perhatian juga perlu diberikan kepada premis rumah urut yang terlibat dalam isu berkenaan, termasuk kemungkinan wujud unsur lain yang mencetuskan penularan video tersebut.
“Yang penting sekarang bukan sekadar soal individu MPP itu sudah diarahkan lepaskan jawatan, tetapi apa sebenarnya yang berlaku di premis itu sehingga video berkenaan didedahkan kepada umum,” katanya ketika menjawab pertanyaan wartawan.
Beliau turut berharap polis menyiasat sama ada terdapat unsur peras ugut atau salah guna kuasa susulan dakwaan kononnya wujud tawaran “perkhidmatan lain” selepas aduan dibuat terhadap premis berkenaan.
Dalam pada itu, Mazlan menggesa Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, serta Ahli Parlimen Wangsa Maju, Zahir Hassan, supaya tidak memandang ringan dakwaan berhubung kegiatan premis urut di sekitar Platinum Walk yang menurutnya semakin membimbangkan penduduk setempat.
Katanya, kawasan tersebut dipercayai mempunyai banyak premis rumah urut dan situasi itu didakwa sudah lama menimbulkan rasa tidak selesa dalam kalangan masyarakat setempat.
“Kita tak mahu perkara ini dianggap selesai hanya kerana jawatan MPP sudah dilepaskan. Kita mahu siasatan diperluaskan kepada premis-premis yang ada di kawasan sekitar juga,” katanya.
Mengulas dakwaan bahawa dua individu yang dikaitkan dengan isu berkenaan merupakan ahli dan pemegang jawatan dalam PKR, Mazlan menegaskan UMNO tidak terlibat secara langsung dengan pelantikan mereka.
Beliau mendakwa pelantikan barisan MPP berkenaan dibuat ketika pentadbiran Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) sebelum ini, dan menurut pemahamannya, lantikan tersebut dibuat oleh pihak tertentu dalam PKR sendiri.
Mazlan turut menegaskan bahawa UMNO di kawasan itu tidak mempunyai kaitan dengan sebarang kegiatan tidak sihat seperti yang didakwa berlaku, malah menyifatkan isu berkenaan sebagai masalah dalaman pihak lain.
Sehubungan itu, beliau sekali lagi menggesa agar siasatan dibuat bukan sahaja terhadap individu yang tular, tetapi juga terhadap operasi premis-premis rumah urut di sekitar Platinum Walk bagi memastikan tiada sebarang pelanggaran undang-undang atau aktiviti mencurigakan berlaku.
#WangsaMaju #BeritaAAC #IsuMPP #PlatinumWalk #RumahUrut