
KAJANG, 10 April 2026 – Persatuan Penduduk Taman Koperasi Cuepacs Fasa 2 menyuarakan rasa terkilan dan tidak bersetuju terhadap keputusan terkini berhubung isu melibatkan kuil di kawasan berkenaan, selepas mendakwa mereka tidak dipanggil menyertai perbincangan rasmi yang berlangsung di tapak kuil.
Pengerusinya, Encik Shapawi, berkata lawatan tersebut dihadiri Exco Kerajaan Negeri Selangor, Papparaidu Veraman, bersama beberapa pihak lain termasuk ADUN Kajang, wakil pegawai daerah, Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ) serta pengurusan kuil.
Menurut beliau, persatuan penduduk kesal kerana tidak diberi ruang untuk hadir dalam perbincangan yang menyentuh kepentingan penduduk setempat.
“Kami agak terkilan kerana Persatuan Penduduk Taman Koperasi Cuepacs Fasa 2 tidak dipanggil. Sepatutnya perbincangan melibatkan kedua-dua belah pihak, bukan hanya sebelah pihak sahaja,” katanya.
Setiausaha persatuan, Encik Faizal, memaklumkan bahawa hasil keputusan sementara yang diperoleh ialah pihak kuil dibenarkan menggunakan laluan sementara selama enam bulan, sementara laluan baharu dari Sungai Long sepanjang kira-kira 3.3 kilometer disiapkan dalam tempoh sama.
Beliau berkata, penggunaan laluan itu hanya dibenarkan bagi tujuan pembinaan dan bukan untuk sebarang aktiviti keagamaan atau upacara sembahyang di premis berkenaan.
“Pihak kuil tidak boleh menjalankan sebarang aktiviti atau upacara sembahyang. Ia hanya untuk tujuan pembinaan sahaja, dan laluan keluar masuk itu juga hanya bagi membawa barang pembinaan,” jelasnya.
Bagaimanapun, pihak persatuan mendakwa keputusan tersebut menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan penduduk Taman Koperasi Cuepacs Fasa 2 serta penduduk Jalan Desa Baru kerana dilihat berubah daripada tindakan terdahulu yang dikatakan telah dibuat mengikut saluran undang-undang.
Mereka turut mempersoalkan campur tangan politik dalam keputusan berkenaan dan berpendapat perkara itu sepatutnya diputuskan sepenuhnya berdasarkan perundangan.
Sementara itu, wakil persatuan, Ustaz Shafie, menegaskan bahawa pihaknya secara rasmi tidak bersetuju dengan hasil perbincangan yang dibuat pada hari tersebut kerana menganggap ia tidak seimbang dan tidak adil.
“Bila satu pihak tidak dipanggil, maka keputusan itu nampak berat sebelah, prejudis dan lebih memihak kepada kepentingan sesuatu pihak sahaja,” katanya.
Beliau berkata, persatuan akan mengambil tindakan lanjut termasuk memfailkan kes ke mahkamah dalam masa terdekat sebagai jalan terbaik untuk menyelesaikan pertikaian yang telah berlarutan.
Menurut beliau, tindakan perundangan itu penting bagi memastikan keputusan muktamad dibuat secara adil tanpa campur tangan mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab.
Encik Faizal turut memaklumkan bahawa berdasarkan nasihat peguam persatuan, kes tersebut dijangka akan difailkan di Mahkamah Tinggi dalam tempoh satu hingga dua bulan.
Dalam perkembangan sama, persatuan berkenaan kini giat mengumpul dana bagi menampung kos guaman dan memberi jaminan bahawa segala sumbangan akan diurus secara telus serta diaudit.
Pihak persatuan turut berharap masyarakat dapat membantu bagi memastikan proses perundangan dapat dijalankan dengan lancar demi menjaga keharmonian, kesejahteraan dan hak komuniti setempat.
Selain itu, Shapawi berkata pihak persatuan juga telah membuat aduan melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) kepada MPKJ berhubung pembinaan dua pintu yang didakwa melanggar perjanjian asal.
Katanya, walaupun tindakan awal telah diambil dengan meletakkan tali kuning pada dua pintu berkenaan, mereka berpandangan langkah itu masih tidak mencukupi dan isu tersebut tetap perlu dibawa ke mahkamah.
“Sekarang ini kami nampak penyelesaian terbaik hanyalah melalui perundangan. Biar undang-undang yang tentukan,” katanya.
Persatuan Penduduk Taman Koperasi Cuepacs Fasa 2 turut memaklumkan bahawa sebarang sumbangan bagi kos guaman boleh disalurkan ke akaun rasmi persatuan, manakala perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
#IsuKuilCuepacs #BeritaAAC #PendudukBersuara #HakKomuniti #MahkamahTentukan