
KUALA LUMPUR, 3 Jun 2026 – Perikatan Nasional (PN) diramal berdepan laluan sukar dan dijangka gagal mempertahankan kerusi-kerusi DUN sedia ada mereka menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2026 atas faktor krisis dan pergolakan dalaman gabungan tersebut.
Sebaliknya, Barisan Nasional (BN) dijangka mengekalkan momentum sebagai blok politik paling dominan untuk terus menerajui pentadbiran kerajaan negeri.
Unjuran awal ini dizahirkan oleh Timbalan Presiden Majlis Senator Malaysia, Dato’ Dr. Armand Azha Hj. Abu Hanifah berdasarkan hasil temu bual lapangan, pemerhatian politik semasa, sentimen akar umbi, serta analisis mendalam membabitkan sampel pengundi pelbagai latar belakang termasuk golongan pengundi muda (Undi18).
Menurut beliau, walaupun dinamika politik boleh berubah saat-saat akhir sebelum hari pengundian, namun indikator semasa jelas memihak kepada kestabilan yang ditawarkan oleh kepimpinan sedia ada.
Peta Unjuran Kerusi: BN Dominan, PH Bertahan di Bandar
Berdasarkan analisis tersebut, sebanyak 18 kerusi tradisi dijangka kekal menjadi milik mutlak BN antaranya Buloh Kasap, Sri Medan, Semarang, Benut, dan Kukup. Lebih membimbangkan buat blok pembangkang, BN turut mempunyai peluang yang sangat tinggi untuk menguasai 19 lagi kerusi berpotensi besar seperti Pemanis, Gambir, Serom, Mahkota, Larkin, dan Kempas.
Sementara itu, Pakatan Harapan (PH) diramal kekal bertahan di 10 kawasan kubu kuat mereka di kawasan bandar dan separa bandar yang mempunyai komposisi pengundi pelbagai kaum seperti Jementah, Bentayan, Penggaram, Perling, dan Skudai.
Pertarungan paling sengit atau kategori ’50-50′ dijangka berlaku di 6 kerusi tumpuan utama iaitu Tangkak, Simpang Jeram, Maharani, Endau, Tiram, dan Kota Iskandar. Di kawasan ini, faktor pemilihan calon, isu lokal, dan peratusan keluar mengundi akan menjadi penentu tipis kemenangan.
7 Pilar Kekuatan BN Johor & Strategi Serangan Pembangkang
Dato’ Dr. Armand menggariskan tujuh faktor utama mengapa BN sukar ditandingi di Johor:
Jentera Akar Umbi Tersusun: Rangkaian jentera fizikal yang kuat sehingga peringkat cawangan dan Felda.
Faktor MB Datuk Onn Hafiz Ghazi: Imej dinamik, rajin turun padang, dan diterima merentasi sempadan parti.
Rekod Ekonomi Kukuh: Kejayaan menarik pelaburan RM110 bilion serta impak positif zon ekonomi Johor-Singapore Special Economic Zone (JS-SEZ).
Kestabilan Politik Pasca-2022.
Formula Muafakat Pelbagai Kaum Bangsa Johor.
Hubungan Baik dengan Institusi Negeri.
Perpecahan Blok Lawan: Pertandingan pelbagai penjuru yang bakal memecahkan undi anti-BN.
Bagaimanapun, laporan itu turut mengingatkan bahawa blok pembangkang akan cuba mengeksploitasi isu-isu dekat di hati rakyat seperti kos sara hidup, perumahan mampu milik di kawasan Johor Bahru dan Kulai, peluang pekerjaan anak muda, serta naratif kerjasama UMNO-DAP dalam Kerajaan Perpaduan bagi memikat pengundi Melayu.
Rumusan Akhir
Sekiranya formula kestabilan dan ekonomi ini terus bertahan, BN mempunyai asas yang sangat kukuh untuk mengulangi pencapaian cemerlang melebihi 40 kerusi DUN pada PRN Johor 2026. Kelemahan naratif dominan daripada pihak lawan memberikan kelebihan mutlak buat mereka, namun isu kebajikan anak muda dan kos sara hidup tidak boleh dipandang remeh.
#PRNJohor2026 #PolitikJohor #BangsaJohor #AnalisisAAC #OnnHafiz #ArmandAzha