
AMPANG – UMNO dan Barisan Nasional (BN) menepis dakwaan kononnya mereka bertindak bagaikan ‘kacang lupakan kulit’ terhadap rakan sekutu politik, khususnya dalam konteks pembentukan kerajaan di Johor sebelum ini.
Ketua UMNO Bahagian Ampang, Mohamed Nadzim Ibrahim menegaskan bahawa kemenangan BN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dicapai menerusi kekuatan dalaman parti dan komponennya sendiri, tanpa bergantung kepada bantuan pihak luar.
Kenyataan itu bagi mengulas dakwaan yang dibangkitkan oleh Pemuda DAP (DAPSY) baru-baru ini mengenai hubungan antara parti-parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan.
Tiada Istilah Hutang Budi Dalam Kerajaan Perpaduan
Mengulas lanjut mengenai landskap politik pasca-Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Mohamed Nadzim menjelaskan bahawa keputusan UMNO dan BN untuk menyertai Kerajaan Perpaduan adalah demi memastikan kestabilan negara dan kepentingan rakyat, memandangkan tiada mana-mana gabungan yang memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan secara bersendirian.

“Ketika itu tiada satu parti pun yang mampu membentuk kerajaan sendiri. Demi kepentingan rakyat dan kestabilan negara, UMNO bersetuju menyertai Kerajaan Perpaduan. Jadi tidak timbul isu siapa berhutang budi kepada siapa,” katanya dalam satu temu bual eksklusif.
Bagaimanapun, beliau enggan mencampuri urusan dalaman parti lain termasuk spekulasi hubungan antara Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan timbalannya, Datuk Seri Rafizi Ramli.
Aura ‘Bossku’ Masih Berbisa, Mampu Ubah Landskap Politik
Dalam perkembangan sama, Mohamed Nadzim turut menyentuh mengenai pengaruh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang disifatkannya masih mempunyai aura yang luar biasa dalam kalangan rakyat marhaen walaupun sedang menjalani hukuman penjara.
Menurut beliau, sokongan yang diterima oleh tokoh yang popular dengan gelaran ‘Bosku’ itu di media sosial membuktikan rakyat tidak melupakan jasanya, dan kepulangan beliau ke arena politik pada masa hadapan berpotensi mengubah dinamika politik tanah air secara drastik.
Menyentuh soal pembebasan Najib, beliau berpandangan ruang perundangan yang berbaki ketika ini adalah menerusi proses pengampunan diraja.
“Kami tidak mendesak. Kami hanya menzahirkan kasih sayang kepada pemimpin kami dan berharap dengan ihsan serta kebijaksanaan Tuanku, Datuk Seri Najib dapat diberikan keadilan yang sewajarnya mengikut proses dan pertimbangan yang ditetapkan,” ujarnya yang menegaskan institusi diraja mempunyai hak mutlak dalam perkara tersebut.
Kemasukan Tengku Zafrul Hangatkan Politik Ampang
Sementara itu, mengulas mengenai kehadiran bekas Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz ke dalam politik Ampang, Mohamed Nadzim melihat ia sebagai satu kelebihan strategik kepada Perdana Menteri.
Kedudukan Ampang yang berjiran dengan Parlimen Pandan—yang kini diwakili oleh Rafizi Ramli—dilihat bakal menjadikan saingan politik di kawasan itu semakin sengit menjelang pilihan raya akan datang.
Tegasnya, UMNO Ampang tidak gentar dan sentiasa bersedia berhadapan dengan apa jua cabaran, termasuk kemungkinan berlakunya pertembungan secara langsung.
”Jika diarahkan oleh pucuk pimpinan, UMNO Ampang akan turun berjuang habis-habisan. Jentera parti telah bersedia dan pusat daerah mengundi (PDM) juga telah beroperasi,” katanya memutuskan bicara.
#PolitikMalaysia #UMNOAmpang #NajibRazak #KerajaanPerpaduan #BeritaAAC