
KUALA LUMPUR, 26 April 2026 – Pertubuhan Pergerakan Kebajikan Masyarakat Kuala Lumpur menasihatkan orang ramai supaya tidak terburu-buru membeli kenderaan elektrik atau EV hanya kerana tekanan isu harga minyak, sebaliknya menilai terlebih dahulu kemampuan, kemudahan sokongan dan kesesuaian penggunaan harian.
Pengerusinya, Hussein Zulkarai berkata, walaupun kenderaan EV dilihat moden, mewah dan semakin popular, pengguna perlu sedar bahawa masih terdapat pelbagai kekangan yang boleh membebankan pemilik, khususnya melibatkan alat ganti, pusat servis, tenaga mahir serta kemudahan pengecasan.
Menurut beliau, antara masalah utama yang sering dibangkitkan ialah kekurangan alat ganti apabila kenderaan mengalami kerosakan atau kemalangan kecil.
Katanya, terdapat kes kenderaan EV yang terpaksa tersadai lama di bengkel atau pusat servis kerana alat ganti tidak mencukupi dan mekanik sedia ada belum benar-benar mahir mengenal pasti masalah teknikal kenderaan berkenaan.
“Kereta dijual dengan imej mewah dan gah, tetapi apabila berlaku kerosakan, alat ganti tidak cukup. Bengkel EV pula tidak banyak dan tenaga mahir untuk membaiki kenderaan elektrik juga masih belum mencukupi,” katanya.
Hussein mendakwa, terdapat pemilik EV yang terpaksa menunggu sehingga lapan atau sembilan hari hanya untuk mengenal pasti punca masalah kenderaan mereka di pusat servis.
Beliau berkata, keadaan itu menunjukkan ekosistem sokongan EV di negara ini masih belum benar-benar lengkap, terutama di luar kawasan pusat bandar.
Dalam masa sama, Hussein turut menasihatkan penduduk rumah bertingkat seperti kondominium, residensi, flat, PPR dan perumahan awam supaya berfikir panjang sebelum membeli EV kerana kebanyakan kawasan berkenaan masih tidak mempunyai kemudahan pengecasan mencukupi.
Menurutnya, di Kuala Lumpur sahaja terdapat ramai penduduk yang tinggal di kediaman bertingkat, namun kemudahan mengecas kenderaan elektrik masih terhad dan kebanyakannya hanya terdapat di pusat beli-belah dengan bilangan pengecas yang kecil.
“Kalau nak cas, kadang-kadang perlu tunggu giliran. Proses mengecas pula boleh mengambil masa tiga hingga empat jam, berbanding mengisi minyak petrol atau diesel yang hanya mengambil masa sekitar 10 minit,” katanya.
Beliau berkata, situasi itu boleh menjadi lebih membebankan sekiranya berlaku kecemasan seperti kematian ahli keluarga, saudara sakit di kampung atau keperluan bergerak segera ke hospital yang jauh.
Hussein turut mendakwa, ada pemilik EV yang meluahkan rasa menyesal kerana menghadapi kesukaran ketika mahu pulang ke kampung, terutama apabila terperangkap dalam kesesakan jalan raya panjang semasa musim cuti.
Katanya, berbeza dengan kenderaan petrol atau diesel yang mempunyai rangkaian stesen minyak lebih meluas, pemilik EV berdepan cabaran mencari lokasi pengecasan, menunggu giliran dan merancang perjalanan dengan lebih rumit.
“Ada yang nak balik Terengganu atau Kelantan, tetapi apabila jalan sesak, mereka tidak berani teruskan perjalanan kerana bimbang bateri tidak mencukupi. Ada yang sampai separuh jalan terpaksa berpatah balik,” dakwanya.
Beliau turut menyentuh mengenai penduduk rumah teres yang menurutnya tidak semuanya mempunyai bekalan elektrik sesuai untuk menampung pengecasan EV, khususnya kediaman yang hanya menggunakan bekalan elektrik satu fasa.
Sehubungan itu, Hussein menyeru bakal pembeli supaya melihat aspek jangka panjang dan tidak hanya terpengaruh dengan imej moden atau mewah sesebuah kenderaan.
Katanya, pembelian EV mungkin lebih sesuai dipertimbangkan apabila kemudahan bengkel, alat ganti, tenaga mahir dan stesen pengecasan benar-benar lengkap serta mudah diakses oleh pengguna di seluruh negara.
“Jangan kerana isu minyak, kita ambil sikap yang akhirnya membebankan diri sendiri. Isu minyak boleh reda, tetapi jika kenderaan yang dibeli menyusahkan kehidupan harian, ia akan menjadi beban kepada pemilik dan keluarga,” katanya.
Hussein berkata, pihaknya bukan menolak perkembangan teknologi kenderaan elektrik, namun rakyat perlu membuat keputusan berdasarkan kemampuan, keperluan dan realiti kemudahan semasa.
“Fikir jangka masa panjang. Jangan guna kenderaan yang nampak gah dan mewah, tetapi akhirnya membebankan hidup kita dan keluarga,” katanya.
#BeritaAAC #IsuEV #KenderaanElektrik #KosHidupRakyat #FikirSebelumBeliEV