
KUALA LUMPUR, 22 April 2026 – Impian untuk meraih pendapatan lumayan di luar negara bertukar menjadi pengalaman hitam buat empat lelaki muda apabila mereka mendakwa menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia selepas terpedaya dengan tawaran kerja bergaji tinggi di Kemboja.
Salah seorang mangsa, Muhammad Hafiz, 21, berkata dia mengenali individu yang dipercayai terlibat dalam urusan merekrut mereka menerusi kenalan sekampung di Kampung Ayer Baloi, Pontian, Johor.
Menurutnya, dia bersama tiga lagi rakannya pada mulanya dipelawa menyertai satu pertubuhan sebelum dibawa menghadiri sesi pertemuan dengan individu lain yang didakwa menawarkan peluang pekerjaan di luar negara.
Beliau berkata, mereka dimaklumkan kononnya akan bekerja di Laos atau Kemboja dalam pekerjaan yang disifatkan sebagai “halal” dan hanya memerlukan mereka mengikut skrip menggunakan komputer.
“Mereka tawarkan gaji sekitar USD1,000 sebulan dan minta kami beritahu keluarga bahawa kami akan bekerja di Singapura. Ketika itu kami langsung tidak mengesyaki apa-apa,” katanya dalam satu sidang media di sini, hari ini.
Muhammad Hafiz berkata, selepas ditempatkan kira-kira dua minggu di sebuah rumah transit di Ulu Tiram, Johor, mereka kemudiannya dibawa ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum diterbangkan ke Kemboja pada pertengahan Februari lalu.
Katanya, sebaik tiba di negara berkenaan, barulah dia dan rakan-rakannya menyedari bahawa mereka sebenarnya dipaksa terlibat dalam kegiatan penipuan dalam talian, termasuk penipuan cinta atau love scam.
Menurut beliau, tekanan demi tekanan terpaksa dihadapi apabila mereka dipaksa mencapai sasaran tertentu, malah turut menerima hukuman fizikal jika gagal memenuhi arahan sindiket.
“Saya sendiri pernah diarahkan menipu mangsa dan sempat memperdaya seorang individu sebanyak kira-kira RM500. Disebabkan tidak capai sasaran, saya dipukul. Ketika itu baru saya benar-benar sedar kami sudah terperangkap,” katanya.
Tambahnya, dia bersama tiga lagi rakannya akhirnya nekad melarikan diri pada pertengahan Ramadan selepas tidak lagi sanggup hidup dalam ketakutan dan kawalan ketat sindiket terbabit.
Menurut Muhammad Hafiz, mereka dipindahkan oleh sindiket ke sebuah hotel selepas pihak sindiket dipercayai mendapat maklumat bahawa premis asal akan diserbu pihak berkuasa.
Katanya, situasi itu membuka ruang kepada mereka untuk meloloskan diri sebelum berjalan lebih dua kilometer dan mendapatkan bantuan penduduk tempatan.
“Kami naik kenderaan orang tempatan hingga sampai ke sebuah perkampungan Islam. Dari situ kami pergi ke surau dan hubungi keluarga sebelum usaha menyelamat dilakukan,” katanya.
Beliau turut mengakui kekurangan pendedahan mengenai bahaya pemerdagangan manusia menyebabkan dia mudah mempercayai tawaran kerja tersebut, selain menyesali penglibatannya dengan kumpulan kongsi gelap.
“Saya benar-benar menyesal. Saya harap pengalaman ini jadi pengajaran kepada orang lain supaya jangan mudah percaya dengan tawaran kerja luar negara yang nampak terlalu indah,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, semua maklumat berhubung individu yang dipercayai terlibat dalam kegiatan merekrut mangsa sudah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Beliau mendakwa individu berkenaan dipercayai masih bebas dan aktif mencari mangsa baharu, khususnya dalam kalangan anak muda, untuk dihantar ke luar negara.
“Kita gesa Bahagian Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) Bukit Aman segera bertindak kerana kegiatan ini masih berlaku dan semakin membimbangkan,” katanya.
Menurut beliau, Johor dikenal pasti antara negeri yang mencatatkan jumlah tinggi dari segi perekrutan mangsa ke Kemboja, dengan trend terkini menunjukkan semakin ramai belia Melayu turut menjadi sasaran sindiket.
Katanya lagi, aktiviti merekrut di peringkat kampung juga dipercayai masih berjalan walaupun pelbagai pendedahan mengenai kes seumpama itu telah dibuat sebelum ini.
#PemerdaganganManusia #SindiketKerjaLuarNegara #BeliaJadiMangsa #LoveScamKemboja #BeritaAAC