
KUALA LUMPUR, 30 April 2026 – Sambutan ulang tahun ke-80 UMNO bukan sekadar medan mengenang sejarah perjuangan parti, sebaliknya menjadi ruang penting untuk melakukan muhasabah serta merangka hala tuju baharu demi rakyat dan negara.
Ketua Penerangan Wanita UMNO Malaysia, Dato’ Rosni Zahari berkata, sepanjang lapan dekad penubuhannya, UMNO telah melalui pelbagai fasa perjuangan, bermula daripada kebangkitan menentang Malayan Union, menuntut kemerdekaan, mengisi kemerdekaan, sehinggalah merangka agenda pembangunan negara termasuk pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru.
Menurut beliau, UMNO sememangnya layak digelar parti keramat kerana sejarahnya cukup besar dalam membangkitkan semangat orang Melayu dan membina asas kemerdekaan negara.
Bagaimanapun, Rosni berkata, UMNO juga tidak terlepas daripada melalui fasa mencabar apabila berdepan isu integriti, kredibiliti serta defisit sokongan rakyat yang akhirnya menyaksikan parti itu kehilangan kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-14 tahun 2018.
“UMNO telah melalui zaman kegemilangan, tetapi dalam masa sama timbul isu integriti dan kredibiliti yang perlu ditangani. Sokongan rakyat kepada UMNO dan Barisan Nasional juga pernah menurun sehingga kita kalah dalam PRU-14,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas perjalanan UMNO menjelang sambutan ulang tahun ke-80 parti itu yang akan berlangsung bermula 1 hingga 2 Mei di World Trade Centre Kuala Lumpur.
Rosni berkata, meskipun UMNO tidak lagi memiliki jumlah kerusi majoriti seperti dahulu, parti itu masih berperanan dalam pembentukan kerajaan melalui kerjasama Kerajaan Perpaduan, sekali gus membuktikan kematangan politik UMNO dalam mendepani realiti semasa.
Katanya, pengalaman di beberapa negeri seperti Pahang, Perak dan Negeri Sembilan turut menjadi pengajaran bahawa kestabilan politik memerlukan kebijaksanaan, perancangan rapi dan keupayaan membentuk kerjasama demi kepentingan rakyat.
“Pada saya, UMNO sekarang sedang melalui proses muhasabah diri. Kita perlu mengenang kembali apa yang telah dilakukan, tetapi dalam masa sama bergerak ke hadapan dengan memikirkan apa yang mahu dirancang untuk rakyat Malaysia,” katanya.
Rosni menegaskan, nostalgia perjuangan lalu tidak mencukupi sekiranya UMNO mahu terus relevan, sebaliknya parti itu perlu memahami kehendak rakyat hari ini, mendengar pandangan semua golongan dan menawarkan hala tuju yang lebih segar.
Menurut beliau, selagi UMNO mengambil kira suara rakyat dan bersedia memperbaiki kelemahan, parti itu mempunyai ruang besar untuk bangkit semula.
Dalam pada itu, Rosni memaklumkan sambutan ulang tahun ke-80 UMNO akan diisi dengan beberapa program utama termasuk Konvensyen Pendidikan pada 1 Mei dan Konvensyen UMNO pada 2 Mei.
Bagi sayap Wanita UMNO pula, beliau berkata beberapa pengisian turut diadakan termasuk pertandingan nasyid pada sebelah pagi serta Forum Voices of Her di Ruang Legar WTC Kuala Lumpur pada sebelah petang.
Sehubungan itu, beliau mengajak orang ramai khususnya ahli UMNO untuk hadir bersama-sama mengikuti program yang telah disusun sempena sambutan bersejarah tersebut.
“Jemputlah ramai-ramai untuk sama-sama mengikuti forum dan pengisian yang diadakan sempena sambutan ulang tahun ke-80 UMNO,” katanya.
#UMNO80Tahun #WanitaUMNO #UMNOBangkit #SuaraRakyat #BeritaAAC