
KUALA LUMPUR, 1 Mei 2026 – Naib Presiden UMNO merangkap Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Dr Wan Rosdy Wan Ismail menegaskan bahawa wanita di negara ini perlu terus diberi ruang dan peluang untuk memainkan peranan lebih besar dalam pelbagai bidang termasuk politik, pentadbiran, pendidikan, ekonomi dan kepimpinan masyarakat.
Beliau berkata, penganjuran program seperti Voices of Hers menjadi platform penting untuk wanita menyampaikan pandangan, hasrat serta cadangan mereka secara terbuka, selain membuka ruang kepada panel jemputan berkongsi nasihat, hala tuju dan idea bagi memperkukuh agenda pemerkasaan wanita.
Menurut Wan Rosdy, Malaysia sentiasa berusaha memberi ruang kepada wanita untuk tampil dalam arus perdana, malah tidak pernah menyekat penyertaan mereka selagi mempunyai kelayakan, kemampuan dan peluang yang sesuai.
“Sekiranya ada peluang dan mereka layak, kita memberi peluang kepada mereka untuk memegang jawatan-jawatan penting.
“Di Pahang, daripada 10 Exco, dua daripadanya adalah wanita. Ketua-ketua jabatan juga ada dalam kalangan wanita. Namun, usaha ini tidak terhenti setakat itu sahaja, sebaliknya akan dipertingkatkan dari semasa ke semasa,” katanya.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad atas kejayaan menganjurkan program tersebut yang mendapat sambutan baik dan dilihat mampu menjadi medan perbincangan serius mengenai masa depan wanita dalam kepimpinan negara.
Wan Rosdy berkata, program seumpama itu tidak wajar berakhir sebagai acara sekali sahaja, sebaliknya perlu diteruskan secara berkala agar agenda wanita dapat digerakkan, diusahakan dan dipertingkatkan dengan lebih berkesan.
“Program hari ini saya harap tidak berakhir di sini sahaja. Ia perlu diteruskan pada masa akan datang kerana inilah proses yang harus digerakkan dan dipertingkatkan oleh wanita,” katanya.
Sementara itu, Ketua Wanita UMNO Malaysia merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, program Voices of Hers yang dimulakan sejak tahun lalu memberi fokus kepada agenda pemerkasaan wanita dalam beberapa bidang utama termasuk pendidikan, keusahawanan, ekonomi dan politik.
Beliau berkata, setiap siri program membawa topik berbeza dengan matlamat membina kesedaran, mengangkat suara wanita dan menyediakan cadangan yang boleh dipertimbangkan oleh kepimpinan negara.
Menurut Noraini, penyertaan wanita dalam politik masih berada pada tahap yang terkebelakang dari segi peratusan berbanding bidang lain, justeru isu tersebut perlu terus diperjuangkan melalui perbincangan berkala, penyelidikan dan penglibatan pelbagai pihak.
“Politik adalah bidang yang paling terkebelakang dari segi peratusan wanita. Sebab itulah kita akan laksanakan beberapa siri lain dengan memanggil panel-panel lain dan penyelidik yang telah menjalankan kajian mengenai penyertaan wanita di Malaysia.
“Kita harapkan hasil perbincangan berkala ini dapat memberi kesedaran kepada semua pihak, terutamanya rakyat,” katanya.
Noraini turut menegaskan bahawa perjuangan pemerkasaan wanita tidak terhad kepada mana-mana parti politik semata-mata, sebaliknya merupakan agenda bersama yang harus diberi perhatian oleh semua pihak.
“Kita tidak boleh berhenti memperjuangkan women empowerment. Ia tidak tertumpu kepada parti tertentu sahaja. Semua parti perlu bersama apabila kita bercakap mengenai pemerkasaan wanita.
“Banyak cadangan telah diberikan oleh Wanita UMNO dan kita berharap pimpinan negara dapat memberi tumpuan serta menerima cadangan-cadangan ini,” katanya.
Beliau berkata, Wanita UMNO akan terus memainkan peranan sebagai suara utama dalam memperjuangkan penyertaan wanita yang lebih seimbang, berdaya saing dan dihormati dalam pembangunan negara.
#BeritaAAC #WanitaUMNO #WomenEmpowerment #SuaraWanita #PolitikWanita