
KUALA LUMPUR, 6 Mei 2026 – UMNO Bahagian Batu menyatakan kesediaan untuk berdepan mana-mana calon yang ditampilkan PKR di Parlimen Batu pada Pilihan Raya Umum ke-16, termasuk sekiranya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dikatakan memilih kawasan itu sebagai medan pertarungan politiknya nanti.
Ketua UMNO Bahagian Batu, Gulam Muszaffar berkata, pihaknya mengambil maklum dakwaan yang tersebar bahawa Anwar atau PMX dikhabarkan sedang mengintai kerusi Parlimen Batu, yang didakwa dianggap sebagai antara kerusi paling selamat buat PKR.
Menurut beliau, sekiranya khabar angin itu benar, langkah tersebut mungkin dilihat sebagai strategi politik bagi memastikan kelangsungan karier politik Perdana Menteri menjelang PRU16.
“Samada betul atau tidak, dikhabarkan YAB PMX telah mengintai kerusi Parlimen Batu untuk bertanding di dalam PRU16 nanti yang kononnya dalam congakan PKR, kerusi Parlimen Batu adalah kerusi paling selamat untuk calon PKR,” katanya dalam satu kenyataan.
Gulam mendakwa, beberapa kerusi yang pernah dikaitkan dengan Anwar sebelum ini seperti Tambun, Permatang Pauh dan Bandar Tun Razak mungkin tidak lagi menjadi pilihan utama kerana peluang kemenangan dikatakan semakin mencabar.
Beliau turut menyifatkan Parlimen Batu sebagai kawasan yang kini menjadi perhatian utama dalam perkiraan politik PKR, malah mengibaratkan kerusi tersebut sebagai “ratu cantik” dalam percaturan parti itu.
Dalam masa sama, Gulam menegaskan bahawa UMNO Batu tidak gentar untuk turun bertanding sekiranya Barisan Nasional diberi peluang meletakkan calon di kawasan tersebut, terutama jika BN memilih untuk bergerak secara solo.
Katanya, siapa pun calon yang bakal turun ke Parlimen Batu, termasuk tokoh besar seperti Anwar Ibrahim, UMNO Batu tetap bersedia memberi tentangan.
“Bagi UMNO Batu, kalau ditakdirkan BN bergerak solo dan mendapat kerusi untuk bertanding, siapa pun yang datang ke Parlimen Batu kita akan lawan walaupun susuk tubuh itu adalah Anwar Ibrahim.
“Menang atau kalah adalah perkara kedua dan ketentuan Allah SWT. UMNO Batu akan menjadi calon underdog berdepan top dog PKR. Pasti seronok dan meriah PRU16 nanti,” katanya.
Beliau turut menyindir PKR supaya memperjelaskan kedudukan calon mereka di Parlimen Batu, selepas beberapa nama sebelum ini dikaitkan dengan kawasan berkenaan termasuk Nurul Izzah, Datuk R. Ramanan dan Anwar sendiri.
Gulam pada masa sama mendakwa terdapat beberapa nama lain yang seolah-olah tidak lagi berada dalam senarai utama, termasuk penyandang kerusi Batu, P. Prabakaran dan Asheeq Ali.
Beliau menasihatkan PKR supaya tidak berlaku pertembungan dalaman dalam usaha merebut tempat di Parlimen Batu, sambil mendakwa masing-masing kini sedang mencari laluan terbaik bagi menyelamatkan kedudukan politik masing-masing.
“Nasihat saya, jangan bergaduh sesama sendiri sudahlah untuk mendapat tempat di Parlimen Batu kerana masing-masing nak selamatkan tengkuk dan karier politik masing-masing,” katanya.
#BeritaAAC #ParlimenBatu #PRU16 #PolitikMalaysia #UMNOBatu