
KUALA LUMPUR, 5 Mei 2026 – Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA), Dato’ Ibrahim Ali mendesak Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu supaya segera menjawab tuntutan pesawah berhubung semakan harga lantai padi yang didakwa tidak lagi memadai dengan realiti kos semasa.
Ibrahim berkata, desakan itu dibuat selepas beliau hadir ke Himpunan Aman Pesawah di Kampung Stol, Pokok Sena, Kedah pada 3 Mei lalu yang dihadiri kira-kira 300 pesawah bagi menyuarakan keresahan mereka terhadap tekanan hidup dan kos operasi sawah yang semakin meningkat.
Menurut beliau, himpunan tersebut bukan sekadar perhimpunan biasa, sebaliknya satu isyarat awal bahawa pesawah sudah terlalu lama menunggu penyelesaian konkrit daripada kerajaan.
“Himpunan pesawah di Kedah bukan himpunan mengarut. Itu bukan pesta politik. Itu adalah amaran awal bahawa pesawah sudah terlalu lama disuruh sabar, disuruh tunggu dan disuruh percaya kepada kajian,” katanya dalam satu kenyataan terbuka kepada Mohamad Sabu hari ini.
Ibrahim berkata, Mohamad Sabu perlu sedar bahawa beliau kini bukan lagi pemimpin pembangkang yang hanya berucap di pentas rakyat, sebaliknya seorang menteri yang bertanggungjawab secara langsung terhadap sawah, padi, beras, pesawah dan keterjaminan makanan negara.
Katanya, selepas berada dalam kerajaan, Mohamad Sabu perlu membuktikan bahawa beliau masih memahami realiti kehidupan pesawah yang berdepan tekanan kos diesel, baja, racun, jentera, upah kerja serta pengecilan tanah pusaka.
“Dulu kita menegur kerajaan. Hari ini saudara ialah kerajaan. Saudara bukan lagi pembangkang di atas lori ceramah. Saudara ialah Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan,” katanya.
Beliau menegaskan, tuntutan pesawah supaya harga lantai padi dinaikkan kepada RM3,000 satu tan metrik tidak wajar dipandang ringan atau diperlekeh sebagai tuntutan tidak masuk akal.
Sebaliknya, kata Ibrahim, kerajaan perlu membentangkan kira-kira sebenar mengenai kos pengeluaran padi dan pendapatan bersih pesawah selepas ditolak segala kos operasi.
“RM3,000 bukan angka merapu. RM3,000 bukan angka politik. RM3,000 ialah angka cabaran kepada kerajaan. Kalau kerajaan kata angka itu tinggi, buka buku kira-kira,” katanya.
Ibrahim turut memberi amaran supaya kerajaan tidak menggunakan alasan kenaikan harga beras bagi menolak tuntutan pesawah kerana perkara itu hanya akan mewujudkan jurang antara pesawah dan pengguna.
Menurutnya, kerajaan mempunyai kuasa, bajet, agensi, subsidi serta kementerian untuk merangka mekanisme yang mampu membela pesawah tanpa membebankan pengguna.
“Padi bukan komoditi biasa. Padi adalah makanan asas negara. Pesawah adalah benteng keterjaminan makanan negara,” katanya.
Dalam kenyataan sama, Ibrahim menuntut kerajaan membuka audit kos nasional industri padi dalam tempoh 30 hari dengan melibatkan pesawah sebenar, pengusaha jentera, wakil MADA, KADA, pakar ekonomi pertanian dan wakil bebas.
Katanya, audit tersebut perlu dibentangkan kepada rakyat secara telus dan tidak disembunyikan di sebalik fail kementerian.
Beliau juga mendesak kerajaan menilai semula harga lantai padi RM1,500 satu tan metrik kerana angka tersebut didakwa tidak lagi sesuai dengan keadaan semasa, terutama apabila kos input meningkat dan saiz tanah pesawah semakin mengecil akibat pembahagian pusaka.
Selain itu, Ibrahim mahu kerajaan menyelesaikan segera isu diesel, fleet card, traktor, jentera, jentuai dan kos operasi sawah yang dianggap sebagai nadi utama kerja pesawah.
Beliau turut mencabar Mohamad Sabu supaya turun berdialog secara terbuka dengan pesawah dalam tempoh 14 hari tanpa protokol rasmi yang berlebihan.
“Pesawah tidak mahu lagi janji umum. Mereka mahu tarikh. Mereka mahu angka. Mereka mahu mekanisme. Mereka mahu keputusan,” katanya.
Ibrahim menegaskan, beliau tidak akan berhenti pada surat terbuka tersebut dan akan terus menggerakkan memorandum rasmi, kertas kerja rakyat serta suara pesawah seluruh negara sekiranya kementerian gagal bertindak segera.
Katanya, isu pesawah akan dibawa dari Kedah ke negeri-negeri jelapang padi lain supaya rakyat dapat menilai siapa yang benar-benar berdiri bersama pesawah dan siapa hanya bercakap mengenai keterjaminan makanan di atas kertas.
“Jawab dengan angka. Turun dengan tindakan. Tunaikan tuntutan ini dengan maruah. Jika tidak, rakyat berhak menilai bahawa Mat Sabu yang dahulu bercakap untuk rakyat sudah berubah menjadi menteri yang gagal membela pesawah,” katanya.
#BeritaAAC #NasibPesawah #HargaPadi #KeterjaminanMakanan #IbrahimAli