
KUALA LUMPUR, 4 Mei 2026 – Krisis membabitkan institusi adat dan istana di Negeri Sembilan tidak seharusnya dipolitikkan, sebaliknya perlu diselesaikan secara berhemah oleh kerajaan negeri demi mengelakkan kemelut tersebut berlarutan tanpa kesudahan.
Peguam, Dato’ Hasnal Rezua Merican berkata, isu yang berlaku di Negeri Sembilan pada ketika ini melibatkan pertembungan antara dua pihak yang mempunyai kedudukan penting dalam struktur kuasa negeri, iaitu Dewan Keadilan dan Undang yang melibatkan empat Undang Luak bersama Tunku Besar Tampin, serta Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.
Menurut beliau, keadaan itu menggambarkan wujudnya pergeseran dalam struktur institusi adat Negeri Sembilan yang perlu ditangani secara berhati-hati oleh kerajaan negeri selaku pentadbir.
“Ini bukan isu politik. Saya sudah dua tiga kali bercakap tentang isu ini dan saya mengekalkan pandangan saya secara konsisten bahawa ini bukan isu politik.
“Ini bukan isu yang perlu dipermainkan di Dewan Undangan Negeri atau dijadikan polemik sehingga menjadi punca kejatuhan kerajaan,” katanya ketika diminta mengulas mengenai krisis di Negeri Sembilan.
Hasnal berkata, tindakan 14 Ahli Dewan Undangan Negeri Barisan Nasional menarik sokongan terhadap Menteri Besar Negeri Sembilan perlu dilihat sebagai protes terhadap kegagalan kepimpinan negeri menguruskan isu berkenaan secara berhemah.
Katanya, sebagai Menteri Besar, beliau mempunyai tanggungjawab untuk memastikan konflik yang berlaku dalam institusi adat dan istana negeri itu dapat diselesaikan dengan baik.
“Datuk Jalaluddin Alias telah menyatakan bahawa 14 ADUN menarik sokongan terhadap kerajaan kerana kegagalan Menteri Besar menyelesaikan isu secara berhemah.
“Sebagai seorang Menteri Besar, dia ada peranan untuk memastikan isu ini selesai. Tetapi apabila gagal berbuat demikian, maka ADUN-ADUN Barisan Nasional menarik diri,” katanya.
Dalam masa sama, Hasnal menolak dakwaan bahawa tindakan 14 ADUN Barisan Nasional itu boleh dianggap sebagai derhaka kepada Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.
Beliau mempersoalkan asas tuduhan tersebut kerana menurutnya, Barisan Nasional tidak pernah menuntut supaya Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan turun daripada takhta.
“Di mana derhakanya? Adakah Datuk Jalal dan ADUN-ADUN Barisan Nasional menuntut supaya Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan turun daripada takhta? Tidak.
“Yang meminta Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan turun daripada takhta ialah Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan. Barisan Nasional tidak menyokong pun perkara itu,” katanya.
Menurut Hasnal, apa yang dibangkitkan oleh pihak Barisan Nasional hanyalah desakan supaya Menteri Besar menjalankan tanggungjawabnya bagi menyelesaikan pergeseran antara Yang Dipertuan Besar dan Undang Luak.
Katanya, konflik tersebut tidak boleh dibiarkan berpanjangan kerana ia sudah menyentuh soal kuasa, punca kuasa, bidang kuasa dan legitimasi dalam struktur pemerintahan adat Negeri Sembilan.
Beliau berkata, sekiranya isu itu tidak diselesaikan secara tuntas, segala tindakan berkaitan kuasa dan kedudukan institusi terbabit selepas ini akan terus menimbulkan persoalan serta pertikaian.
“Pergaduhan atau pergeseran mereka ini sudah membawa kepada isu kuasa, punca kuasa, bilang kuasa dan legitimasi.
“Lepas ini nak buat apa pun kena berhati-hati. Boleh atau tidak? Siapa ada kuasa, siapa tidak ada kuasa? Pemecatan yang berlaku ini sah atau tidak? Penurunan kuasa ini sah atau tidak? Semua ini kena selesai,” katanya.
Hasnal mencadangkan supaya kerajaan negeri mengambil pendekatan berkecuali dengan membawa semua pihak kembali kepada status quo atau mendapatkan tafsiran daripada Mahkamah Persekutuan berhubung Perlembagaan Undang-Undang Tubuh Negeri Sembilan.
Katanya, satu pihak berkecuali perlu membuat penentuan terhadap perkara itu bagi mengelakkan keadaan terus buntu.
“Kerajaan negeri mesti menyelesaikannya. Sama ada pergi balik kepada Dewan Keadilan dan Undang, minta semua pihak stand down dan kembali kepada status quo, tiada siapa hilang jawatan.
“Atau dapatkan satu penafsiran daripada Mahkamah Persekutuan Malaysia tentang Perlembagaan Undang-Undang Tubuh Negeri Sembilan,” katanya.
Beliau turut mengingatkan kerajaan negeri supaya tidak berpihak kepada mana-mana pihak dalam krisis tersebut kerana tindakan sedemikian hanya akan menjejaskan kewibawaan kerajaan sebagai orang tengah.
Katanya, sekiranya kerajaan negeri dilihat terlalu condong kepada satu pihak, pihak lain tidak lagi akan mempercayai kerajaan sebagai mediator dalam penyelesaian isu berkenaan.
“Jangan take side, jangan ambil bahagian dalam keputusan. Kalau tidak, awak hilang wibawa.
“Bila terlalu condong kepada satu pihak, maka satu pihak lagi tidak mahu awak menjadi mediator kerana awak dilihat condong dan berpihak,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Hasnal berkata, jika Menteri Besar dilihat tidak mampu memikul tanggungjawab menyelesaikan krisis tersebut, maka gesaan Barisan Nasional supaya berlaku pertukaran Menteri Besar wajar dipertimbangkan.
Menurutnya, jawatan itu perlu digalas oleh individu yang mampu bertindak sebagai pentadbir berwibawa dan menyelesaikan kemelut institusi adat serta istana dengan bijaksana.
“Kalau rasa Menteri Besar tidak boleh buat, ikutlah gesaan Barisan Nasional itu, tukarlah Menteri Besar kepada seorang yang boleh galas tanggungjawab ini dan selesaikan.
“Yang penting, ini bukan isu politik. Apa yang berlaku di medan politik hanyalah satu langkah protes yang menunjukkan wakil rakyat hilang kepercayaan terhadap kewibawaan Menteri Besar,” katanya.
Mengulas dakwaan bahawa Barisan Nasional kini menjadi sasaran tohmahan dalam isu tersebut, Hasnal berkata, terdapat pihak yang mengambil kesempatan atau sememangnya tidak menyukai Barisan Nasional.
Katanya, golongan itu enggan memahami keadaan sebenar dan lebih selesa membiarkan krisis tersebut berpanjangan atas alasan sokongan kepada kerajaan negeri sedia ada.
“Ini orang yang mengambil kesempatan, atau memang daripada segi hakikatnya tidak suka kepada Barisan Nasional.
“Mereka enggan memahami keadaan sebenar yang berlaku, atau mereka selesa membiarkan keadaan ini berlanjutan,” katanya.
Beliau berkata, dakwaan bahawa keadaan itu akan selesai dengan sendirinya adalah tidak munasabah, apatah lagi selepas tindakan 14 ADUN Barisan Nasional menyatakan mereka menyokong kerajaan Pakatan Harapan tetapi tidak lagi menyokong Menteri Besar, muncul pula perkembangan baharu membabitkan arahan pengosongan rumah kepada Undang Luak Sungei Ujong.
“Baru satu hari ADUN-ADUN Barisan Nasional mengatakan kita teruskan sokongan kepada kerajaan Pakatan Harapan tetapi tidak menyokong Menteri Besar, esoknya keluar surat daripada Setiausaha Kerajaan Negeri untuk Undang Luak Sungei Ujong mengosongkan rumah.
“Macam mana nak selesai? Kemudian keluar pula jawapan daripada Undang Luak Sungei Ujong. Tak sudah. Jadi sebenarnya siapa yang sedang bermain politik di sini?” katanya.
Hasnal menegaskan, penyelesaian segera perlu dicari agar kemelut berkenaan tidak terus mencetuskan kekeliruan dalam kalangan rakyat serta menjejaskan kestabilan institusi adat dan pentadbiran negeri.
#BeritaAAC #NegeriSembilan #KrisisNegeriSembilan #InstitusiAdat #PolitikSemasa