
KUALA LUMPUR, 9 Mei 2026 – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia akan membawa resolusi hasil Rundingan Meja Bulat Nasional 2.0 atau RIMBUN 2.0 kepada Biro Politik dan Majlis Kerja Tertinggi UMNO untuk diperhalusi, sebelum dicadangkan kepada kerajaan sebagai sebahagian daripada dasar ekonomi negara.
Ketua Pemuda UMNO Malaysia, YB Datuk Dr Akmal Salleh berkata, RIMBUN 2.0 kali ini memberi tumpuan kepada isu kedaulatan ekonomi negara, selepas RIMBUN 1.0 sebelum ini membincangkan soal pendidikan.
Menurut beliau, program meja bulat tersebut menghimpunkan pelbagai tokoh dan pemain industri termasuk bekas Gabenor Bank Negara, bekas menteri, bekas pemain GLC serta usahawan yang terlibat secara langsung dalam dunia perniagaan.
Katanya, antara perkara utama yang dibincangkan ialah keperluan negara mencari sumber pendapatan tambahan yang lebih stabil, termasuk cadangan untuk mengembalikan semula pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan atau GST.
“Ini bukan soal polisi untuk politik, tetapi apabila kita bercakap tentang ekonomi, ia mesti menjadi satu polisi yang lebih stabil dan memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.
Dr Akmal berkata, berdasarkan pandangan yang dikemukakan dalam perbincangan itu, pelaksanaan GST sebelum ini dilihat berpotensi memberi hasil besar kepada negara sekiranya ia diteruskan sejak 2018.
Beliau berkata, antara maklumat yang dikongsikan oleh bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Negara, Tan Sri Irwan, ialah negara berkemungkinan mempunyai lebihan hampir RM100 bilion sekiranya kutipan GST diteruskan sehingga kini.
Namun begitu, Dr Akmal mencadangkan agar pelaksanaan semula GST tidak semestinya bermula pada kadar enam peratus seperti sebelum ini, sebaliknya boleh dipertimbangkan pada kadar lebih rendah seperti tiga peratus.
“Kalau kerajaan boleh laksanakan GST hari ini, Pemuda UMNO akan bersama kerajaan untuk menerangkan kepada rakyat kenapa GST penting, apa kelebihannya dan kenapa ia perlu dibuat untuk kebaikan ekonomi negara,” katanya.
Dalam masa sama, beliau turut membangkitkan isu ketidakadilan gaji pekerja bawahan apabila terdapat syarikat yang mencatatkan keuntungan tinggi, namun pekerja masih menerima gaji pada paras rendah.
Katanya, perkara itu menyebabkan rakyat tidak merasai manfaat sebenar pertumbuhan ekonomi walaupun angka pelaburan dan keuntungan syarikat kelihatan baik di atas kertas.
“Apabila syarikat untung berjuta-juta tetapi gaji pekerja masih rendah, rakyat tidak terasa. Ekonomi rakyat tidak terasa kerana gaji tidak naik dan masih berada di takuk lama,” katanya.
Dr Akmal berkata, Pemuda UMNO mahu membawa pendekatan ekonomi yang lebih dekat dengan kehidupan rakyat, bukan sekadar bercakap mengenai angka pelaburan atau keuntungan syarikat semata-mata..
Menurut beliau, perjuangan agama, bangsa dan tanah air tetap menjadi asas UMNO, namun parti itu juga perlu tampil dengan idea serta dasar ekonomi yang jelas bagi memastikan rakyat mempunyai kehidupan lebih baik.
“Kita kena ada satu idea dan polisi ekonomi supaya rakyat ada makanan di atas meja untuk mereka makan setiap hari,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa Pemuda UMNO akan turun ke seluruh negara bagi menerangkan cadangan serta perancangan polisi ekonomi yang mahu dibawa sekiranya UMNO dan Barisan Nasional diberi mandat semula untuk mentadbir negara.
Selain GST, Dr Akmal berkata, RIMBUN 2.0 turut mencadangkan supaya subsidi negara dirasionalisasikan semula dan disasarkan dengan lebih tepat kepada golongan yang benar-benar memerlukan.
Katanya, subsidi seperti minyak tidak sepatutnya terus dinikmati secara sama rata oleh golongan T20, sebaliknya perlu disusun semula agar lebih memberi manfaat kepada kumpulan B40 dan M40.
“Subsidi RM200 atau RM400 mungkin tidak terasa kepada T20, tetapi jumlah itu sangat memberi kesan kepada B40 dan M40. Sebab itu kita cadangkan subsidi dirasionalisasikan dan disasarkan kepada mereka yang benar-benar memerlukan,” katanya.
Dr Akmal menegaskan, usaha Pemuda UMNO tidak akan terhenti setakat penganjuran RIMBUN 2.0, sebaliknya resolusi yang dicapai akan dibawa ke akar umbi, kampung-kampung dan masyarakat bagi memberi kefahaman berhubung dasar ekonomi yang dicadangkan.
Katanya, rakyat perlu diberi penerangan menyeluruh mengenai hala tuju ekonomi negara, termasuk mengapa sesuatu polisi perlu dilaksanakan walaupun mungkin tidak popular dari sudut politik.
“Kalau dahulu Pakatan Harapan boleh menjelajah seluruh negara beritahu mereka mahu hilangkan GST, turunkan harga kereta dan harga minyak murah, hari ini kita kena beritahu semula kepada rakyat apa cadangan kita jika menjadi kerajaan,” katanya.
Beliau berkata, selepas hampir lapan tahun, keadaan ekonomi negara dilihat tidak banyak berubah dan memerlukan pendekatan lebih berani serta segera bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih sukar.
“Dalam ekonomi, lagi lambat kita laksanakan dasar yang baik, lagi teruk keadaan ekonomi kita. Kalau ada polisi yang baik tetapi kita tangguh, ia akan beri kesan,” katanya.
Dr Akmal berkata, Pemuda UMNO yakin cadangan yang dibawa melalui RIMBUN 2.0 mampu menjadi asas perbincangan lebih serius dalam membentuk dasar ekonomi negara yang lebih mampan, adil dan memberi manfaat langsung kepada rakyat.
#BeritaAAC #RIMBUN20 #PemudaUMNO #EkonomiNegara #GSTKembali