
KUALA LUMPUR, 11 Mei 2026 – Aktivis masyarakat, Mat Lin menggesa kerajaan mempertimbangkan penurunan harga minyak RON95 dan diesel kepada kadar lebih rendah bagi meringankan beban rakyat Malaysia yang berdepan tekanan kos sara hidup ketika ini.
Beliau berkata, pendekatan menaikkan harga minyak kepada warga asing mungkin boleh dipertimbangkan, namun bagi rakyat Malaysia, kerajaan sepatutnya mencari jalan untuk memastikan harga petrol dan diesel terus kekal murah serta mampu dinikmati golongan tempatan.
Menurut Mat Lin, sekiranya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim benar-benar berjiwa rakyat dan mahu menunaikan janji kepada rakyat, harga RON95 wajar diturunkan kepada RM1.50 seliter.
“Kalau Anwar benar-benar berjiwa rakyat dan mahu kotakan janji dia kepada rakyat, turunkan harga minyak RON95 sebanyak RM1.50 satu liter, termasuklah diesel,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa rakyat Malaysia tidak wajar dibebankan dengan harga minyak yang tinggi, sedangkan negara mempunyai hasil dan keuntungan yang besar.
Katanya, kerajaan sebelum ini sering menyatakan bahawa negara kaya dengan hasil serta berjaya menghapuskan ketirisan, justeru beliau berpandangan sudah tiba masanya manfaat tersebut dikembalikan kepada rakyat melalui penurunan harga minyak.
“Keuntungan negara itu banyak. Bagaimana Anwar Ibrahim kata, negara kita cukup kaya. Beliau telah berjaya menghapuskan ketirisan. Jadi, eloklah kita perturunkan harga minyak,” ujarnya.
Mat Lin berkata, walaupun terdapat golongan yang menerima subsidi melalui mekanisme tertentu, harga minyak sedia ada masih dirasakan mahal oleh sebahagian rakyat, khususnya mereka yang bergantung kepada kenderaan harian untuk bekerja dan bergerak.
Beliau berpandangan harga RM1.99 seliter masih boleh dikaji semula, dan kerajaan seharusnya meletakkan kadar RM1.50 seliter sebagai sasaran lebih munasabah untuk rakyat Malaysia.
Dalam masa sama, Mat Lin turut menyindir kepimpinan semasa dengan mendakwa Anwar masih belum sepenuhnya menunaikan janji kepada rakyat berhubung isu kos sara hidup dan harga minyak.
Beliau turut menyatakan secara sinis bahawa sekiranya keadaan tidak berubah, adalah lebih baik jawatan Perdana Menteri diserahkan kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
“Kalau turun bagi Zahid jadi Perdana Menteri. Yang itu lebih bagus,” katanya.
Isu harga minyak terus menjadi perhatian rakyat apabila ia berkait rapat dengan kos pengangkutan, harga barangan serta tekanan ekonomi harian, sekali gus menjadikan tuntutan penurunan harga bahan api sebagai antara suara yang sering dibangkitkan di peringkat akar umbi.
#BeritaAAC #HargaMinyak #RON95 #SuaraRakyat #KosSaraHidup