
MASJID TANAH, 17 Mei 2026 – UMNO Bahagian Masjid Tanah menerima kemasukan seramai 190 ahli Bersatu dan pertubuhan bukan kerajaan dalam kawasan Parlimen Masjid Tanah menerusi program “Sireh Pulang Ke Gagang” yang berlangsung malam ini.
Kemasukan tersebut disifatkan sebagai satu perkembangan positif serta isyarat jelas bahawa UMNO terus menjadi wadah utama perjuangan orang Melayu, selain kekal relevan sebagai rumah penyatuan bangsa.

Menurut kenyataan pimpinan UMNO Bahagian Masjid Tanah, kepulangan ahli-ahli berkenaan bukan sekadar pengisian borang keahlian, sebaliknya membawa bersama keyakinan, semangat dan kepercayaan baharu terhadap perjuangan UMNO.
“Kepulangan mereka ini bukan sekadar mengisi borang keahlian, tetapi membawa bersama keyakinan, semangat dan kepercayaan baharu terhadap perjuangan parti keramat orang Melayu ini.

“Inilah bukti bahawa UMNO terus menjadi tempat berpaut, rumah perjuangan dan wadah penyatuan bangsa,” menurut kenyataan itu.
Penyerahan borang kemasukan ahli baharu tersebut diketuai oleh Puan Aliza binti Abd Yasin, Pengerusi NGO Pertubuhan Progresif Masjid Tanah.
Kemasukan itu turut dilihat mampu meniup semangat dan mencetuskan gelombang kebangkitan baharu di bawah kerangka “Rumah Bangsa”, sekali gus memperkukuh gerak kerja UMNO dan Barisan Nasional di semua lima Dewan Undangan Negeri dalam Parlimen Masjid Tanah.
Menurut kenyataan sama, perkembangan tersebut juga dianggap sebagai tanda bahawa rakyat mula kembali menilai pihak yang benar-benar istiqamah dalam membela agama, bangsa dan tanah air.
“Ketika ada yang hanya pandai berjanji dan bermain persepsi, UMNO tetap berdiri teguh membawa agenda kestabilan, pembangunan dan masa depan rakyat,” katanya.
Tambah kenyataan itu, di bawah gagasan “Rumah Bangsa” yang dicetuskan Presiden UMNO, parti berkenaan akan terus menyatukan kekuatan, merapatkan saf perjuangan dan mengembalikan kegemilangan parti demi rakyat serta negeri tercinta.
Pimpinan UMNO Bahagian Masjid Tanah turut mengalu-alukan kepulangan ahli-ahli berkenaan ke dalam perjuangan parti dan menyeru seluruh jentera agar terus bangkit memperkukuh kekuatan UMNO di bumi Masjid Tanah.
“Selamat pulang ke rumah bangsa ini. Ayuh kita bangkitkan semula kekuatan UMNO di bumi bertuah Masjid Tanah. Perjuangan ini belum selesai. Obor perjuangan ini baharu sahaja bermula,” katanya.
#SirehPulangKeGagang #UMNOMasjidTanah #RumahBangsa #HidupUMNO #AACNews