
KUALA LUMPUR, 20 Mei 2026 – Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Dato’ Sri Fariz Hazurin Ismail mengecam kenyataan bekas Ahli Parlimen DAP, Tony Pua berhubung kuasa Raja-Raja Melayu yang disifatkannya sebagai tidak sensitif terhadap asas kenegaraan dan institusi Raja Berperlembagaan.
Fariz berkata, rakyat kini semakin muak dengan sikap segelintir pemimpin DAP yang didakwa terus memainkan isu sensitif melibatkan institusi Raja-Raja Melayu serta asas Perlembagaan negara.
Menurut beliau, politik seperti itu tidak lagi boleh dianggap sebagai keterbukaan demokrasi, sebaliknya dilihat lebih menjurus kepada politik provokasi yang berpotensi mencetuskan polemik demi kepentingan politik sempit.
“Institusi Raja-Raja Melayu bukan bahan eksperimen politik mana-mana parti. Ia adalah lambang kedaulatan negara, pelindung agama Islam serta tonggak keseimbangan dalam sistem Raja Berperlembagaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Tony Pua yang dilaporkan menyebut bahawa kuasa Raja-Raja Melayu adalah terhad kepada aspek tertentu dalam sistem Raja Berperlembagaan.
Fariz menegaskan, sebarang kenyataan yang dilihat mempertikaikan atau memperlekeh peranan institusi tersebut boleh menimbulkan kemarahan rakyat kerana ia menyentuh sensitiviti majoriti masyarakat Malaysia.
Dalam masa sama, beliau turut membidas Ahli Dewan Negeri Seri Kembangan, Wong Siew Ki susulan isu perbahasan berkaitan cadangan penerokaan sistem penternakan babi secara moden dan tertutup di Selangor, yang sebelum ini dilaporkan mencetuskan bantahan beberapa pihak.
Fariz mendesak Wong supaya tidak terus berselindung di sebalik alasan politik, sebaliknya tampil membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Sultan Selangor serta seluruh rakyat Malaysia.
“Jangan hanya pandai bercakap soal demokrasi dan kebebasan bersuara apabila mahu mencetuskan kontroversi, tetapi gagal menunjukkan rasa hormat apabila menyentuh institusi yang menjadi lambang kedaulatan negara,” tegasnya.
Beliau berkata, jika benar wujud rasa tanggungjawab dan hormat terhadap Sultan Selangor, Wong wajar tampil secara terbuka memohon maaf tanpa berselindung di sebalik alasan politik.
Fariz turut menyifatkan politik DAP hari ini sebagai terlalu ghairah bermain persepsi dan provokasi sehingga gagal memahami batas adab terhadap institusi negara.
Katanya, Malaysia tidak memerlukan politik yang bongkak dan suka mencabar asas negara semata-mata untuk meraih sokongan kelompok tertentu atau mencipta populariti sementara.
Sebaliknya, beliau menegaskan negara memerlukan kepimpinan matang yang menghormati Perlembagaan, memahami sejarah pembentukan negara serta tidak mempermainkan kestabilan nasional.
“Rakyat semakin bijak menilai siapa yang benar-benar mempertahankan keharmonian negara dan siapa yang sekadar mahu mengheret negara ke dalam politik konflik yang tidak berkesudahan,” katanya.
Fariz turut mengingatkan mana-mana pihak agar tidak memperlekeh kebijaksanaan rakyat Malaysia yang masih menjunjung nilai hormat terhadap institusi Raja-Raja Melayu serta asas pembentukan negara ini.
#DaulatTuanku #RajaBerperlembagaan #PemudaUMNO #PolitikMalaysia #AACNews