
SUBANG JAYA — Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Subang malam tadi secara rasmi membuat laporan polis terhadap mantan Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua, berikutan kenyataan beliau yang didakwa tidak menghormati serta mempertikaikan titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor.
Laporan tersebut dibuat sendiri oleh Ketua Pemuda UMNO Bahagian Subang merangkap Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Sri Fariz Hazurin Ismail di Balai Polis USJ 8, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya.
Menurut Datuk Sri Fariz, tindakan tegas ini diambil sebagai tanggungjawab mutlak pimpinan tempatan demi mempertahankan kedaulatan institusi diraja, memandangkan Parlimen Damansara dan Subang terletak di bawah tanah jajahan serta naungan Sultan Selangor.
Beliau turut mempersoalkan sama ada pemimpin-pemimpin terbabit, khususnya daripada parti DAP, sengaja melupakan kontrak sosial negara yang telah termaktub secara jelas di dalam Perlembagaan Persekutuan.
”Saya nak tanya dengan Tony Pua ni, kamu faham atau tidak kedaulatan Raja-Raja Melayu? Inilah maksudnya daulatnya Raja Melayu. Kalau hari ini titah Duli Yang Maha Mulia pun kamu pertikaikan, itu bermakna kamu tidak mengiktiraf Sultan Selangor. Jika berani, nyatakan ‘when and where’ (bila dan di mana),” tegas beliau kepada pengamal media sejurus selesai membuat laporan.
Datuk Sri Fariz menyelar kenyataan Tony Pua sebelum ini yang mendakwa beliau hanya akan mematuhi undang-undang berasaskan perlembagaan dan bukannya berdasarkan titah, serta kenyataan bahawa kuasa Raja mempunyai had dalam sistem demokrasi negara.
Mengulas lanjut, beliau turut mengingatkan semula prinsip pertama dan kedua Rukun Negara, iaitu Kepercayaan kepada Tuhan serta Kesetiaan kepada Raja dan Negara yang sepatutnya dihayati, difahami, dan dihadam oleh setiap warganegara Malaysia tanpa berbelah bahagi.
Sambil menyifatkan tindakan kelompok pemimpin berkenaan seperti ‘kaduk naik junjung’, Datuk Sri Fariz menjelaskan rentetan isu ini sebenarnya bermula daripada kenyataan Ahli Dewan Udangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Wong Siu Kee berhubung isu penternakan babi, yang kemudian disusuli oleh kenyataan veteran DAP, Ronnie Liu.
”Teguran saya ini mungkin bunyinya agak keras, tetapi saya tidak marah kepada bangsa atau kaum-kaum lain. Teguran saya ini khusus kepada individu-individu yang berani mempertikaikan titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor—iaitu pertama Wong Siu Kee, kedua Ronnie Liu, dan ketiga hari ini, Tony Pua,” tambah beliau lagi.
Di akhir kenyataannya, beliau menasihatkan agar Ronnie Liu dan Tony Pua hadir ke Dataran Selangor untuk membaca, menghayati, serta benar-benar memahami intipati Rukun Negara agar polemik seumpama ini tidak berulang kembali demi menjaga keharmonian negara.
#SultanSelangor #PemudaUMNOSubang #TonyPua #KontrakSosial #PortalBeritaAAC