
KUALA LUMPUR, 21 Mei 2026 – Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) merayu Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) supaya mempertimbangkan semula permohonan daftar lewat kad pengenalan membabitkan dua anak lelaki kepada seorang ibu warganegara Malaysia yang berdepan kesukaran mendapatkan MyKad walaupun didakwa mempunyai sijil kelahiran Malaysia.

Setiausaha Agung MHO, Dato’ Hishamuddin Hashim berkata, kedua-dua lelaki berkenaan masing-masing dilahirkan pada tahun 1999 dan 2003 di Malaysia serta mempunyai sijil kelahiran Malaysia yang turut mencatatkan status warganegara dan nombor kad pengenalan Malaysia.
Menurut beliau, kes tersebut bermula sekitar tahun 2004 apabila kedua-dua anak itu yang ketika itu masih kecil dibawa keluar dari Malaysia ke Jambi, Indonesia oleh bapa kandung mereka tanpa pengetahuan dan persetujuan ibu kandung serta tanpa dokumen perjalanan rasmi.
“Sepanjang berada di Indonesia, mereka ditinggalkan oleh bapa kandung yang kemudiannya menghilangkan diri. Kedua-dua anak ini dibesarkan oleh datuk dan nenek dalam keadaan serba kekurangan tanpa dokumen pengenalan diri lengkap, selain rekod keluarga tempatan yang dikenali sebagai Kartu Keluarga,” katanya dalam Sidang Media MHO pada Khamis.
Hishamuddin menjelaskan, Kartu Keluarga hanya merupakan dokumen rekod isi rumah di Indonesia dan bukannya dokumen pengenalan diri rasmi seperti Kartu Tanda Penduduk. Dalam kes ini, dokumen tersebut digunakan bagi tujuan persekolahan ketika kedua-dua mereka berada di Indonesia.
Katanya, sekitar tahun 2023, kedua-dua anak itu berjaya memperoleh pasport Indonesia dengan bantuan penduduk kampung dan jiran setempat semata-mata untuk membolehkan mereka kembali ke Malaysia bagi mencari dan bertemu semula dengan ibu kandung selepas bertahun-tahun terpisah.
Bagaimanapun, beliau berkata, selepas kembali ke Malaysia dan setelah ibu kandung mengambil pelbagai langkah sejak tahun 2024 bagi mendapatkan pengesahan identiti, permohonan daftar lewat kad pengenalan bagi kedua-dua anak tersebut masih berdepan kesukaran dan beberapa kali ditolak oleh JPN.
“Ujian DNA juga telah dijalankan dan keputusan yang diperoleh mengesahkan bahawa kedua-dua anak lelaki tersebut merupakan anak kandung kepada ibu warganegara Malaysia berkenaan. Namun proses dokumentasi dan kad pengenalan mereka masih belum selesai,” katanya.
Menurut MHO, antara alasan penolakan difahamkan berpunca daripada percanggahan maklumat pada pasport Indonesia berbanding sijil kelahiran Malaysia, termasuk ejaan nama dan tarikh lahir. Namun, pertubuhan itu berpandangan percanggahan tersebut berlaku kerana pasport Indonesia diperoleh ketika mereka tidak memiliki dokumen asal lengkap daripada Malaysia.
Hishamuddin berkata, kes ini wajar dinilai secara menyeluruh dengan mengambil kira kewujudan sijil kelahiran Malaysia, rekod status warganegara, nombor kad pengenalan Malaysia, identiti ibu kandung sebagai warganegara Malaysia serta bukti saintifik melalui ujian DNA.
Beliau turut menegaskan bahawa perkara tersebut bukan melibatkan tuntutan kewarganegaraan baharu, sebaliknya permohonan daftar lewat kad pengenalan bagi individu yang didakwa telah mempunyai rekod kelahiran Malaysia sejak awal.
“MHO berpandangan kes ini lebih menjurus kepada isu pengesahan dan penyelarasan dokumentasi identiti, bukan isu ketidakpastian asal-usul atau pertalian darah,” katanya.
Dalam masa sama, MHO menegaskan kenyataan itu tidak bertujuan menuding jari atau membuat tuduhan terhadap mana-mana pihak atau agensi, sebaliknya dibuat atas dasar kemanusiaan dan keprihatinan terhadap nasib dua individu yang kini berdepan kesukaran dari sudut pendidikan, pekerjaan, kesihatan dan kehidupan sosial akibat ketiadaan pengiktirafan identiti yang jelas.
“Mereka hanya mahu peluang untuk bekerja, memiliki identiti sendiri dan membina masa depan yang lebih baik di negara tempat mereka dilahirkan serta tempat ibu kandung mereka berasal.
“Bagi seorang ibu, rayuannya cukup sederhana. Beliau hanya mahu anak-anaknya mempunyai identiti yang sah dan peluang untuk hidup dengan bermaruah,” katanya.
Sehubungan itu, MHO berharap JPN dan agensi berkaitan dapat memberikan ruang pertimbangan sewajarnya berdasarkan keseluruhan fakta, dokumen sedia ada, bukti DNA serta prinsip keadilan dan kemanusiaan demi memastikan kebajikan serta masa depan kedua-dua anak tersebut terbela.
#MHO #JPN #MyKad #HakIdentiti #AACNews