
KUALA LUMPUR, 22 Mei 2026 – Sekumpulan aktivis sosial, pencinta alam dan pencinta haiwan menyerahkan memorandum kepada Kedutaan Jepun bagi mendesak supaya DAK dibawa pulang semula ke Malaysia dengan segera.
Memorandum tersebut diserahkan oleh wakil Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara bersama beberapa aktivis lain termasuk Dato’ Dr Kalaivanar, Prof Dr Santara Segara Subramaniam serta wakil pencinta haiwan yang hadir menyatakan solidariti terhadap usaha membawa pulang khazanah negara itu.
Menurut Dato’ Dr Kalaivanar, memorandum berbahasa Inggeris itu telah disediakan secara terperinci oleh pakar-pakar terlibat dan pihaknya turut memohon satu sesi pertemuan rasmi selama kira-kira 15 minit bersama Duta Jepun bagi menjelaskan isu berkenaan secara lebih profesional.
“Kita bukan sekadar serah memorandum kemudian balik. Usaha kita adalah untuk berjumpa dengan Ambassador dan menjelaskan hasrat rakyat Malaysia. Kita mahu kerajaan kita dan pihak Jepun berbincang supaya DAK dapat dibawa balik segera,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa isu tersebut bukan bersifat politik, sebaliknya melibatkan hubungan antara zoo dengan zoo serta kepentingan menjaga maruah dan khazanah negara.
Dalam ucapannya, Dato’ Dr Kalaivanar turut mendakwa bukan hanya tiga ekor yang dihantar, malah terdapat 19 ekor haiwan yang didakwa dihantar tanpa pengetahuan rakyat Malaysia.
Katanya, perkara itu menimbulkan rasa dukacita dalam kalangan rakyat yang mahu penjelasan serta tindakan segera daripada pihak berkaitan.
Sementara itu, Prof Dr Santara Segara Subramaniam menyifatkan tindakan berhimpun dan menyerahkan memorandum di Kedutaan Jepun sebagai suara rakyat Malaysia yang prihatin terhadap khazanah negara.
“Siapa lagi nak berjuang kalau rakyat Malaysia sendiri tidak berjuang? Kita sudah hadir ke Zoo Taiping, NRES dan kini ke Kedutaan Jepun. Ini suara rakyat Malaysia untuk khazanah negara,” katanya.
Seorang pencinta haiwan yang dikenali sebagai Kak Nor pula berkata, DAK merupakan “anak Malaysia” yang kini berada di Osaka, Jepun, dan rakyat berhak menyuarakan tuntutan agar ia dibawa pulang.
Menurut wakil pencinta haiwan lain, pihak mereka kecewa dengan kenyataan pihak tertentu yang meminta supaya rakyat tidak tergesa-gesa kerana wujud perjanjian antara Zoo Taiping dan Zoo Tennoji. Namun, mereka mempersoalkan tindakan menghantar gajah yang didakwa bukan dilahirkan di Zoo Taiping, sebaliknya berada di bawah pengawasan pusat konservasi Kuala Gandah.
Aktivis terbabit turut merayu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar mendengar suara rakyat dan tidak hanya bergantung kepada penjelasan pihak yang terlibat dalam penghantaran DAK ke Jepun.
Mereka mendakwa lebih 170,000 rakyat telah menandatangani petisyen pertama, manakala sasaran petisyen kedua ialah 500,000 tandatangan bagi mendesak usaha membawa pulang DAK diteruskan.
“Selagi DAK tidak menjejakkan kaki di bumi Malaysia, kami tidak akan berhenti bersuara. Kembalikan DAK,” tegas wakil pencinta haiwan berkenaan.
#KembalikanDAK #SelamatkanKhazanahNegara!#SuaraRakyatMalaysia #DAKBalikMalaysia