
KUALA LUMPUR – UMNO Bahagian Batu memilih untuk bersikap husnudzon (berprasangka baik) meskipun tidak menerima sebarang sumbangan lembu korban daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menjelang Hari Raya Aidiladha tidak lama lagi.
Hal ini dibangkitkan susulan laporan mengenai sumbangan sebanyak 260 ekor lembu oleh Perdana Menteri (PMX) ke Parlimen Permatang Pauh baru-baru ini.
Ketua UMNO Bahagian Batu, Datuk Gulam Muszaffar Gulam Mustakim berkata, setakat ini tiada sebarang sumbangan seumpama itu diterima oleh pihaknya, meskipun terdapat desas-desus sebelum ini yang mengaitkan hasrat Anwar untuk bertanding di Parlimen berkenaan.
”Walaupun PMX berhajat nak bertanding dekat Batu, tapi tak ada sumbanganlah kepada UMNO Bahagian Batu. Tapi saya tak tahulah kepada yang lain-lain tu… saya mengambil sikap husnudzon lah.
”Mungkin bukan orang kata dalam radar PMX untuk bagi UMNO Bahagian Batu lembu lah. Tapi kalau dia tak bagi pun, kita tak kecil hati,” katanya ketika ditemui media.
Pelawa PMX Tinjau Kawasan ‘Putih’ PKR
Dalam perkembangan sama, Datuk Gulam yang juga Ketua Penerangan UMNO Wilayah Persekutuan mengesahkan bahawa Perdana Menteri dijadualkan hadir ke Parlimen Batu esok bagi menunaikan solat Jumaat di Masjid Sayyidina Hamzah.
Sambil menzahirkan ucapan selamat datang, beliau secara berseloroh pelawa Anwar untuk mengambil peluang tersebut bagi meninjau sendiri kawasan yang sering dianggap sebagai kubu kuat atau ‘kawasan putih’ PKR itu.
”Kita peringkat UMNO Bahagian mengucapkan selamat datang. Dan bolehlah tinjau-tinjau kawasan putih PKR ni, yang dikatakan kawasan putih PKR ni, untuk sekiranya beliau ingin bertanding di dalam Parlimen Batu lah, insya-Allah,” ujarnya lagi.
Sebelum ini, spekulasi mengenai kehadiran PMX bertanding di kerusi Parlimen Batu sering menjadi bualan hangat penganalisis politik, memandangkan kawasan parlimen bandar tersebut mempunyai dinamika politik yang unik.
#UMNOBatu #PMX #ParlimenBatu #PolitikMalaysia #BeritaAAC