
KUALA LUMPUR , 29 Mei 2026 – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menzahirkan rasa dukacita dan kebimbangan mendalam terhadap penderitaan berterusan yang menimpa umat Islam di Gaza, selatan Lubnan, dan beberapa wilayah lain akibat serangan berterusan rejim Zionis Israel.
Beliau menyifatkan suasana sambutan Aidilfitri tahun ini dipalit kesedihan yang amat sangat apabila umat Islam di rantau berkenaan terus berdepan kezaliman, kemusnahan, serta kehilangan nyawa tanpa noktah.
Malah, Anwar turut membidas sikap membisu kuasa besar Barat yang disifatkannya sebagai ‘munafik’ dalam mempertahankan prinsip demokrasi dan hak asasi manusia.
“Bila orang Palestin dizalimi, apabila Gaza dihancurkan dan selatan Lubnan diserang, dunia seolah-olah tidak lagi mempunyai maruah dan prinsip yang dipertahankan.
“Inilah yang saya maksudkan sebagai kemunafikan demokrasi dunia Barat. Mereka bercakap soal hak asasi dan keadilan, tetapi membiarkan kezaliman berlaku secara terbuka,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat bersama rakyat di Masjid Saidina Hamzah, Kampung Batu Muda, di sini, hari ini.
Malaysia Tolak Penindasan, Bukan Cetus Kebencian Agama
Bagaimanapun, Anwar menegaskan bahawa pendirian lantang Malaysia bukanlah bersifat ekstrem atau didorong oleh kebencian terhadap mana-mana kaum atau agama. Sebaliknya, ia adalah atas prinsip kemanusiaan sejagat dan penolakan total terhadap penindasan.
Jelas beliau, kemarahan rakyat Malaysia dan masyarakat antarabangsa terhadap Israel adalah tindak balas semula jadi terhadap tindakan zalim yang terus berulang tanpa sebarang penyelesaian tuntas.
Bagi mencari jalan keluar, Perdana Menteri memaklumkan beliau telah mengadakan perbincangan strategik bersama beberapa pimpinan utama negara Islam.
“Ia (perbincangan) melibatkan Presiden Iran, Presiden Pakistan, Presiden Turkiye serta Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed Salman bagi membincangkan usaha memperkukuh perpaduan dunia Islam dalam menghentikan keganasan dan konflik yang berlarutan di Asia Barat,” katanya.
Kesan Geopolitik Terhadap Ekonomi Domestik
Dalam perkembangan sama, Anwar mengingatkan bahawa konflik di Asia Barat bukan sekadar isu keselamatan serantau, malah berupaya memberi impak besar kepada kestabilan ekonomi dunia, termasuk rantau Asia Tenggara.
Meskipun Malaysia ketika ini berada dalam keadaan aman dengan asas ekonomi yang baik, beliau tidak menolak bahawa ketidaktentuan geopolitik global sedikit sebanyak akan memberi kesan kepada ekonomi serta kesejahteraan rakyat.
Teguran Buat Ahli Politik Tempatan
Mengulas mengenai situasi politik dalam negara, Anwar mengambil kesempatan menyeru masyarakat dan pimpinan politik tempatan agar sentiasa mengekalkan pendekatan yang sederhana, tenang, dan rasional.
Beliau mengingatkan agar fokus utama kepimpinan perlulah diberikan kepada usaha membela nasib rakyat, bukannya melayan sentimen ekstrem.
“Politik tidak boleh dibawa dengan sentimen melampau. Kita mesti kekal waras dan mengutamakan kepentingan rakyat, bukannya mengulangi budaya kebencian serta kegilaan politik seperti yang berlaku di beberapa negara Barat,” tegas beliau mengakhiri bicara.
#AnwarIbrahim #MalaysiaStandWithPalestine #SolidaritiGazaLubnan #DuniaIslamBersatu #KemunafikanBarat