
KUALA LUMPUR, 28 Mei 2026 – Ketua UMNO Bahagian Batu, Datuk Gulam Muszaffar Gulam Mustakim berkata, sebarang keputusan berkaitan pengampunan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak adalah di bawah kuasa dan wewenang Yang di-Pertuan Agong.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas khabar angin yang tular berhubung kemungkinan Datuk Seri Najib atau lebih dikenali sebagai “Bossku” dibebaskan atau menerima pengampunan.
Menurut Gulam, beliau sendiri tidak menerima sebarang maklumat rasmi berhubung perkara itu, namun menegaskan isu tersebut tidak wajar dijadikan bahan pertikaian politik kerana ia melibatkan bidang kuasa Seri Paduka Baginda.
“Saya terus terang dan jujur, saya tak dapat berita tentang Bossku nak keluar ke atau apa pun. Mungkin ini dari segi propaganda, kita tak tahu.
“Sebab saya bukan orang yang boleh komen. Ini adalah wewenang Yang di-Pertuan Agong, jadi kita tak boleh nak pertikaikan,” katanya.
Bagaimanapun, Gulam berkata sekiranya khabar angin tersebut benar berlaku, ia merupakan perkembangan yang baik kepada penyokong UMNO dan mereka yang selama ini menantikan pembelaan terhadap Najib.
“Kalau sekiranya betul apa yang diserkap jarang ini, Alhamdulillah, it’s good for us. Dengan kehadiran dan mungkin kalau Bossku diberi pengampunan, itu adalah tanda yang baik untuk kita,” katanya lagi.
Dalam masa sama, Gulam menyindir pihak tertentu dalam PKR yang didakwanya mungkin tidak berpuas hati sekiranya pengampunan terhadap Najib menjadi kenyataan.
Menurut beliau, pihak yang tidak bersetuju dengan keputusan berkenaan perlu menerima hakikat bahawa kuasa pengampunan bukan terletak pada mana-mana parti politik, sebaliknya di bawah bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong.
“Kalau PKR tak berpuas hati tentang dasar ataupun bila pengampunan dibuat kepada Bossku, itu bukan masalah kita, itu masalah dia.
“Penerimaan dia untuk menerima, sebagaimana kita dulu menerima Anwar Ibrahim menerima pengampunan, dia kena reda dan berdamai dengan keputusan Yang di-Pertuan Agong,” katanya.
Gulam turut menegaskan, isu pembebasan atau pengampunan Najib tidak seharusnya dijadikan modal politik oleh mana-mana pihak, khususnya jika ia hanya digunakan sebagai alasan untuk mewujudkan perpecahan dalaman atau membina naratif tertentu.
Menurutnya, sekiranya ada pihak dalam PKR menjadikan isu tersebut sebagai alasan untuk mengambil pendirian politik tertentu, perkara itu lebih mencerminkan masalah dalaman parti berkenaan.
“Kalau dia rasa dia nak main politik dengan isu pembebasan Datuk Seri Najib Tun Razak, apa yang kita boleh buat?
“Tapi yang saya nampak, kalau dia mengatakan itu adalah isunya, sebenarnya itu hanya satu exit clause untuk dia keluar bersama Rafizi,” katanya.
Beliau berkata, UMNO sebelum ini tidak mempertikaikan pengampunan yang diberikan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, justeru pihak lain juga sewajarnya mengambil sikap sama sekiranya berlaku keputusan melibatkan Najib.
“Bila PKR mendapat khabar berita Anwar Ibrahim diberi pengampunan, adakah kita dispute? Kita tak dispute.
“Mereka pun kena bersikap sedemikian sebab ini adalah kuasa Yang di-Pertuan Agong,” katanya.
Gulam sekali lagi menegaskan bahawa kuasa pengampunan adalah mutlak dalam kerangka Perlembagaan dan tidak sepatutnya dipolitikkan secara berlebihan.
“Mandat dan wewenang itu kita bagi kepada Yang di-Pertuan Agong. Kuasa itu mutlak kepada Baginda,” katanya.
#BeritaAAC #Bossku #DatukSeriNajib #PolitikMalaysia #GulamMuszaffar