
KUALA LUMPUR, 31 Mei 2026 – Kenyataan Pemuda DAP (DAPSY) yang melabel UMNO sebagai ‘kacang lupakan kulit’ hebat ditempelak oleh Ketua UMNO Bahagian Batu, Gulam Muszaffar.
Menurut Gulam, DAPSY seharusnya tidak melupakan sejarah pasca-PRU15 di mana negara berada dalam situasi parlimen tergantung (hung parliament). Tegas beliau, Pakatan Harapan (PH) yang sebenarnya bertindak ibarat “perigi mencari timba” apabila sanggup datang ke World Trade Centre (WTC) untuk meminang UMNO bagi membentuk kerajaan.
”UMNO berada dalam dilema yang amat sangat antara prinsip perjuangan parti atau demi negara. Akhirnya UMNO memilih demi negara, walaupun keputusan itu amat memeritkan survival politik parti ekoran penolakan kuat di peringkat dalaman dan ahli akar umbi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Cabar PMX Bubar Parlimen
Mengulas mengenai amaran DAPSY agar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) membubarkan Parlimen jika BN Johor berkeras mahu bertanding solo di kesemua 56 kerusi DUN, Gulam menyifatkan DAPSY hanya ‘gertak sambal’ dan cuba menunjuk bagus.
Beliau turut mempersoalkan keberanian PMX memandangkan retorik berapi-api di atas pentas Konvensyen PH Johor berbeza sama sekali dengan kenyataan lunak di luar dewan yang mahu kembali berbincang dengan UMNO.
”Saya jangkakan YAB PMX sendiri tidak berani untuk membubarkan Parlimen jika YAB Menteri Besar Johor membubarkan DUN dalam masa terdekat.
”Tiada satu pun naratif politik yang cuba dibawa memberi imej baik kepada PMX, segalanya tidak menjadi, ‘not a single one turn to gold’. Cengkaman politik beliau bukan bertambah kuat, sebaliknya mula longgar dan kehilangan kepercayaan,” ulas beliau lagi.
DAP Aset Atau Liabiliti?
Tambah Gulam, kesilapan terbesar PMX ketika ini adalah kerana terlalu bergantung kepada DAP, sekali gus menjauhkan pengundi Melayu yang disifatkannya masih ‘taboo’ dengan parti tersebut. Beliau mendakwa, kini hanya sekitar 10 peratus sahaja orang Melayu yang menyokong PMX.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan DAPSY agar tidak sibuk melabel parti lain, sebaliknya ‘mencerminkan’ kedudukan mereka sendiri dalam landskap politik semasa.
”Daripada sibuk melabelkan UMNO sebagai kacang lupakan kulit, adalah lebih baik (DAPSY) cermin diri sendiri; adakah DAP itu sebenarnya liabiliti atau aset kepada YAB PMX dalam kerangka politik PH,” katanya.
#PolitikMalaysia #UMNOvsDAP #PrkJohor #GulamMuszaffar #KerajaanPerpaduan #MesejPanasAAC