
KUALA LUMPUR , 31 Mei 2026 – Sekretariat Gerak Gempur Media Sosial Rakyat Malaysia (SEKPUR) menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk menyiasat segera penyebaran sebuah video tular di platform TikTok yang mengandungi dakwaan serius melibatkan Institusi Diraja serta kepimpinan negara.
Satu laporan polis telah dibuat susulan penularan kandungan oleh akaun bernama “SHAFIQ Inspirasi” yang didakwa mengandungi kenyataan berunsur fitnah, provokasi, dan berpotensi menggugat ketenteraman awam.
Dakwaan Terima Bayaran Serang Institusi Diraja
Pengerusi Biro Politik SEKPUR, Shahbudin Embun mendedahkan bahawa video berkenaan mendakwa seorang individu bernama Raja Azman Raja Petra akan membuat Akuan Berkanun (SD). SD tersebut dikatakan berkaitan dengan dakwaan menerima bayaran daripada pihak tertentu yang dikaitkan dengan kepimpinan negara bagi tujuan menyerang institusi diraja.
”Dakwaan seperti ini amat serius kerana bukan sahaja melibatkan reputasi kepimpinan negara, malah turut menyentuh sensitiviti institusi Raja-Raja Melayu yang menjadi tunjang Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Agenda Politik Terselindung Sabotaj Kerajaan MADANI
Shahbudin menegaskan, pihaknya memandang serius naratif tersebut yang dipercayai mempunyai agenda politik terselindung demi membentuk persepsi negatif terhadap Kerajaan MADANI pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Beliau turut mempersoalkan kredibiliti pemilik akaun TikTok tersebut serta kesahihan maklumat yang disebarkan tanpa pengesahan.
Naratif yang mendakwa Raja Azman kini berada di London dan bersedia memberikan keterangan secara dalam talian melalui peguamnya juga digesa untuk disemak secara terperinci bagi mengelakkan manipulasi maklumat oleh pihak ketiga.
”Sekiranya dakwaan yang dibangkitkan itu didapati palsu atau tidak berasas, tindakan tersebut boleh dianggap sebagai fitnah jenayah dan hasutan yang berpotensi mengancam keharmonian masyarakat,” tegas beliau.
Desak Tindakan Tegas Di Bawah Akta Hasutan
Sehubungan itu, SEKPUR memohon Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) PDRM bersama MCMC untuk:
Mengenal pasti identiti sebenar pemilik akaun TikTok terbabit.
Menyiasat motif sebenar penyebaran kandungan tersebut.
Mengesahkan kesahihan sumber maklumat yang digunakan.
SEKPUR turut menuntut agar tindakan tegas diambil di bawah Akta Hasutan 1948, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, serta peruntukan berkaitan dalam Kanun Keseksaan terhadap mana-mana individu yang didapati menyebarkan maklumat palsu.
”Institusi diraja tidak seharusnya dijadikan bahan manipulasi politik atau dieksploitasi bagi mencapai agenda tertentu. Kedaulatan institusi ini perlu dipelihara demi menjamin keharmonian, kestabilan politik dan keluhuran undang-undang negara,” katanya lagi.
#InstitusiDiraja #SiasatTikTok #FitnahPolitik
#KerajaanMADANI #BeritaSemasaAAC