
KUALA LUMPUR, 1 Jun 2026 – Presiden Parti Perkasa Bumiputera Malaysia (PUTRA), Dato’ Dr. Ibrahim Ali, tampil mengemukakan teguran terbuka dan nasihat mendalam kepada Majlis Pimpinan Perikatan Nasional (PN) agar segera menghentikan sebarang perbalahan dalaman demi kelangsungan politik pakatan tersebut menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Melabelkan dirinya sebagai ‘orang kerdil’ namun sarat dengan pengalaman dalam kancah pergolakan politik tanah air, beliau menegaskan bahawa gabungan PAS dan BERSATU memiliki formula kekuatan yang cukup ampuh untuk menumbangkan Kerajaan Madani sekiranya mereka kekal bersatu teguh.
Bagaimanapun, beliau menumpahkan kebimbangan ekoran tindakan sebilangan pemimpin dan penyokong komponen itu yang dilihat mula saling menyindir dan menyerang sesama rakan sekutu mutakhir ini.
”Dalam perjuangan Islam, kemenangan bukan hanya tentang siapa paling kuat bercakap. Islam mengajar menjaga saf sebelum mengejar kemenangan. Saf yang bocor biasanya bukan kalah kerana musuh terlalu kuat, tetapi kerana orang sendiri membuka ruang kepada musuh,” ujar beliau dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Ibrahim, PAS yang disifatkan sebagai sebuah parti Islam matang perlu sedar bahawa mata rakyat sedang menilai imej perjuangan yang dibawa apabila melihat sengketa dalaman PN berlaku. Manakala, BERSATU pula dinasihatkan agar tidak melayan sebarang provokasi dengan emosi yang boleh menampakkan imej hilang sabar di mata pengundi.
Mengulas lanjut mengenai dinamika politik blok kerajaan, beliau turut memberi amaran agar PN tidak mudah terpedaya dengan konflik luaran yang dipaparkan oleh Pakatan Harapan (PH) dan UMNO.
Jelasnya, perbalahan di antara parti-parti tersebut berkemungkinan hanyalah sekadar sebuah ‘wayang politik’ atau retak terkawal bagi meredakan kemarahan penyokong masing-masing terhadap gabungan yang digelar netizen sebagai ‘UMDAP’.
”Zahid tidak mudah meninggalkan Anwar kerana UMNO masih bergantung kepada nafas Putrajaya. Anwar pula tidak mudah membuang UMNO kerana tanpa UMNO, kerajaan Madani kehilangan tongkat Melayu paling penting. Jangan sampai PN termakan wayang lawan lalu memecahkan rumah sendiri,” katanya lagi.
Ibrahim juga mengulas mengenai spekulasi politik semasa termasuk idea ‘reset baharu’ PAS bersama Hamzah Zainudin serta desas-desus penubuhan semula Muafakat Nasional (MN) 2.0 antara PAS dan UMNO. Beliau menyifatkan langkah meninggalkan struktur PN yang sedia ada demi perkara yang belum kukuh akar umbinya sebagai satu perjudian politik yang amat besar.
Katanya, apabila parlimen dibubarkan kelak, segala angka kerusi Parlimen akan lenyap dan yang akan menentukan kemenangan adalah kekuatan jentera, logistik, emosi pengundi, serta keyakinan rakyat.
Di akhir kenyataannya, beliau merayu kepada seluruh kepimpinan tertinggi dan akar umbi PN agar bermuhasabah dan menghentikan pembaziran ‘peluru percuma’ kepada jentera siber (cybertrooper) pihak lawan akibat kegagalan mengawal lidah.
”Jangan terkejut kalau puncanya PRU16 nanti PH dan sekutunya menang bukan kerana mereka terlalu kuat, tetapi kerana PN sendiri gagal menjaga lidah, gagal menjaga saf, dan gagal membezakan antara melawan musuh dengan mencederakan kawan sendiri.
”Rupa-rupanya pepatah Melayu zaman dulu masih relevan; menang sorak kampung tergadai. Bersatulah wahai keluarga besar PN jika ingin merampas Putrajaya demi Rakyat Malaysia,” tegasnya menutup bicara.
#PerikatanNasional #IbrahimAli #PolitikMalaysia2026 #PRU16 #MuafakatNasional