
KUALA LUMPUR, 1 Jun 2026 – Pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor bagi mendapatkan mandat baharu merupakan satu tindakan berani yang membuktikan kepimpinan Menteri Besar, YAB Onn Hafiz Ghazi, tidak sekadar bermain retorik politik.
Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin menyatakan sokongan penuh beliau terhadap langkah tersebut dan menyifatkannya sebagai satu penghormatan tertinggi kepada prinsip demokrasi serta suara rakyat.
Menurut beliau, sebuah kerajaan yang yakin dengan prestasi dan rekod pencapaiannya tidak seharusnya gentar untuk kembali kepada rakyat demi mendapatkan legitimasi yang kukuh.
”Membubarkan DUN dan mengadakan pilihan raya memerlukan keberanian politik yang tinggi kerana keputusan akhirnya terletak di tangan rakyat. Daripada bergantung kepada kiraan angka semata-mata, mandat baharu memberikan kestabilan yang lebih kukuh dan jelas,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Cabar PMX Bubar Parlimen
Mengulas lanjut mengenai landskap politik semasa, Muhamad Muqharabbin turut melancarkan cabaran terbuka kepada Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX), untuk melakukan perkara yang sama di peringkat Persekutuan.
Beliau menegaskan, sekiranya Kerajaan Persekutuan benar-benar yakin bahawa mereka masih mendapat sokongan padu daripada rakyat Malaysia, Parlimen sewajarnya dibubarkan untuk memberi laluan kepada mandat baharu.
”Jika yakin disokong rakyat, kembalilah kepada rakyat. Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ini akan menjadi petunjuk penting terhadap sentimen sebenar rakyat ketika ini,” tegasnya lagi.
Isyarat Awal Menjelang PRU16
Muhamad Muqharabbin turut memberi amaran bahawa PRN Johor bakal menjadi medan ‘perbicaraan’ awal buat Pakatan Harapan (PH). Malah, kegagalan PH untuk meraih kemenangan meyakinkan di negeri selatan tanah air itu boleh menjadi isyarat awal risiko kekalahan lebih besar menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Tambah beliau, landskap politik kini sudah berubah di mana rakyat Malaysia semakin matang dan tidak lagi termakan dengan janji manis.
”Rakyat hari ini menilai berdasarkan prestasi, keupayaan menyelesaikan masalah, kestabilan ekonomi, dan hala tuju negara, bukan lagi retorik semata-mata,” katanya menutup kenyataan.
#PRNJohor2026 #PolitikMalaysia #BubarParlimen #SuaraRakyat #PortalAAC